Pentadbiran Trump rancang bertemu syarikat minyak AS, bincang tingkat pengeluaran minyak Venezuela

Pentadbiran Presiden Trump dilaporkan merancang untuk mengadakan pertemuan dengan eksekutif syarikat minyak AS minggu ini bagi membincangkan usaha meningkatkan pengeluaran minyak Venezuela. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan merancang untuk mengadakan pertemuan dengan eksekutif syarikat minyak Amerika Syarikat (AS) minggu ini bagi membincangkan usaha meningkatkan pengeluaran minyak Venezuela, selepas tentera AS menahan pemimpin negara itu, Nicolas Maduro.
Menurut sumber yang rapat dengan perkara tersebut, pertemuan ini penting bagi merealisasikan harapan pentadbiran Trump untuk membawa semula syarikat minyak gergasi AS ke Venezuela, selepas kerajaan negara Amerika Selatan itu hampir dua dekad lalu mengambil alih operasi tenaga yang dikendalikan syarikat AS.
Tiga syarikat minyak terbesar AS - Exxon Mobil, ConocoPhillips dan Chevron - setakat ini belum mengadakan sebarang perbincangan dengan pentadbiran Trump mengenai penyingkiran Maduro, bercanggah dengan kenyataan Trump hujung minggu lalu bahawa beliau sudah bertemu “semua” syarikat minyak AS sebelum dan selepas operasi tersebut.
“Tiada sesiapa daripada tiga syarikat itu berbincang dengan White House mengenai operasi di Venezuela, sama ada sebelum atau selepas penyingkiran Maduro,” kata sumber industri minyak kepada Reuters.
Pertemuan yang dijadualkan ini dilihat sebagai langkah awal untuk meningkatkan pengeluaran dan eksport minyak mentah Venezuela, bekas negara anggota OPEC yang memiliki rizab minyak terbesar dunia.
Namun, penganalisis menjangkakan usaha ini memerlukan masa bertahun dan pelaburan bernilai berbilion dolar.
White House enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut tetapi menegaskan, industri minyak AS bersedia membuat pelaburan besar bagi memulihkan infrastruktur minyak Venezuela yang didakwa musnah akibat pentadbiran Maduro.
Trump dalam temu bual bersama NBC News turut menyatakan kerajaan mungkin menyalurkan subsidi kepada syarikat minyak bagi membolehkan mereka membina semula infrastruktur tenaga Venezuela.
Walaupun Trump optimis syarikat minyak AS akan melabur berbilion dolar untuk meningkatkan pengeluaran minyak Venezuela, penganalisis memberi amaran rancangan itu berdepan cabaran besar termasuk kekurangan infrastruktur, ketidakpastian politik, kerangka undang-undang dan dasar jangka panjang AS terhadap Venezuela.
Chevron kini satu-satunya syarikat minyak AS yang masih beroperasi di Venezuela, manakala Exxon dan ConocoPhillips pernah mempunyai operasi besar sebelum projek mereka dinasionalisasi oleh bekas Presiden Hugo Chavez.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


