DUNIA
Pentagon pecat Ketua Agensi Risikan Pertahanan selepas penilaian serangan Iran

Leftenan Jeneral Jeffery Kruse dipecat oleh pentadbiran Presiden Trump hanya beberapa minggu selepas laporan penilaian serangan ke atas Iran menerima teguran keras daripada White House. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth memecat Ketua Agensi Risikan Pertahanan (DIA) Amerika Syarikat, Leftenan Jeneral Jeffery Kruse, hanya beberapa minggu selepas laporan penilaian serangan ke atas Iran menerima teguran keras daripada White House.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pentagon, Kruse tidak lagi berkhidmat sebagai Ketua DIA, selain dua lagi pegawai kanan tentera turut digugurkan.
Namun, Jabatan Pertahanan tidak memberikan penjelasan terperinci mengenai sebab pemecatan itu.
Pada Jun lalu, Presiden Donald Trump menolak laporan bocor daripada DIA yang menyimpulkan serangan AS hanya melengahkan program nuklear Iran selama beberapa bulan.White House ketika itu menyifatkan penilaian tersebut sebagai “salah sama sekali.”
Trump sebaliknya menegaskan, fasiliti nuklear Iran telah “musnah sepenuhnya” dan menuduh media cuba memperkecilkan kejayaan serangan yang disifatkannya sebagai “antara yang paling berjaya dalam sejarah ketenteraan”.
Ketika sidang kemuncak NATO pada masa itu, Hegseth menyifatkan laporan tersebut berdasarkan “risikan lemah” dan mendedahkan Biro Penyiasatan Persekutuann (FBI) sedang menyiasat kebocoran maklumat.
Laporan pertama mengenai pemecatan Kruse didedahkan oleh Washington Post.
DIA yang bernaung di bawah Pentagon berperanan mengumpul maklumat risikan ketenteraan bagi menyokong operasi, dengan fokus pada risikan teknikal, berbeza daripada agensi lain seperti CIA.
Sumber memaklumkan kepada Reuters bahawa Hegseth turut mengarahkan penyingkiran Ketua Rizab Tentera Laut AS dan Komander Pasukan Perang Khas Tentera Laut.
Dalam kenyataan berasingan, Senator AS Mark Warner memberi amaran pemecatan Kruse mencerminkan “tabiat berbahaya Trump yang menjadikan risikan sebagai ujian kesetiaan, bukannya benteng keselamatan negara.”
Trump sebelum ini telah menyingkirkan beberapa pegawai yang laporan atau analisisnya bercanggah dengan pendiriannya.
Pada Julai, beliau mengarahkan pemecatan segera Pesuruhjaya Statistik Buruh, Erika McEntarfer, selepas laporan rasmi menunjukkan pertumbuhan pekerjaan semakin perlahan.
Sementara pada April, Trump turut memecat Jeneral Timothy Haugh sebagai Ketua Agensi Keselamatan Negara (NSA), selain lebih sedozen staf di Majlis Keselamatan Negara White House.
Awal tahun ini, Hegseth turut menggugurkan beberapa pegawai kanan tentera termasuk Jeneral Tentera Udara, C Q Brown, bersama lima lagi laksamana dan jeneral. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami