Skip to main content

Dunia

Penularan tikus, jangkitan dedah penduduk Gaza kepada risiko penyakit, amaran agensi PBB

Palestinian children inspect the site of an Israeli strike that took place on Tuesday, at Al-Shati camp, in Gaza City, April 15, 2026. REUTERS/Dawoud Abu Alkas
Situasi kemanusiaan di Gaza semakin meruncing, dengan kekurangan bekalan perubatan dan keadaan hidup yang semakin buruk menyumbang kepada penularan penyakit. - Gambar fail/REUTERS

ISTANBUL: Penularan tikus, pusat perlindungan yang sesak dan sistem sanitasi yang rosak menyebabkan penduduk Semenanjung Gaza berdepan risiko penyakit yang jauh lebih tinggi, menurut amaran Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Di Gaza, penduduk yang sememangnya terdedah kini menghadapi risiko penyakit yang jauh lebih tinggi akibat perpindahan, khemah yang sesak, kekurangan air bersih dan sistem sanitasi yang rosak,” menurut UNRWA dalam satu kenyataan di platform media sosial X.

Agensi itu berkata tikus menggigit kanak-kanak pada waktu malam ketika mereka tidur di dalam khemah.

“Penularan tikus dan jangkitan ketika ini bukan sekadar isu kesihatan, tetapi tanda jelas kerentanan Gaza dan sistem kesihatannya yang hampir lumpuh,” kata Pengarah Kesihatan UNRWA Akihiro Seita.

UNRWA memaklumkan yang pihaknya bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan tempatan bagi memantau penularan jangkitan kulit serta risiko penyakit lain di wilayah itu.

“Lebih banyak khemah, racun serangga dan ubat-ubatan amat diperlukan di Gaza,” menurut agensi berkenaan.

Amaran itu dikeluarkan ketika situasi kemanusiaan di Gaza yang disekat oleh Israel semakin meruncing, dengan kekurangan bekalan perubatan dan keadaan hidup yang semakin buruk menyumbang kepada penularan penyakit.

Serangan tentera Israel ke atas Gaza meragut lebih 72,600 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 172,000 orang sejak Oktober 2023, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa sejak Oktober tahun lepas, Israel enggan membenarkan jumlah bekalan bantuan kemanusiaan yang dipersetujui masuk ke wilayah itu, menyebabkan kira-kira 2.4 juta rakyat Palestin, termasuk 1.5 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal, terus berdepan keadaan kemanusiaan yang kritikal.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video