TENERIFE: Penumpang terakhir telah meninggalkan kapal persiaran MV Hondius yang terjejas wabak hantavirus, ketika pihak berkuasa mengesahkan tiga lagi kes positif berkaitan kejadian tersebut.
Kapal itu berlepas dari Tenerife menuju Belanda pada Isnin selepas enam penumpang terakhir, empat warga Australia, seorang Britain dan seorang New Zealand, bersama beberapa kru turun dari kapal.
Setakat ini, tiga penumpang disahkan maut selepas pelayaran itu, dengan dua daripadanya disahkan dijangkiti virus berkenaan.
Pihak berkuasa turut mengesahkan seorang warga Amerika Syarikat (AS) dan seorang Perancis yang sebelum ini pulang ke negara masing-masing turut positif, menjadikan tujuh kes disahkan dan dua lagi masih disyaki, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kementerian Kesihatan Sepanyol memaklumkan seorang rakyat negara itu yang sedang dikuarantin di Madrid juga didapati positif secara awal.
Di Perancis, seorang wanita yang diuji positif kini berada dalam pengasingan di Paris dengan keadaan kesihatannya semakin merosot.
Hantavirus lazimnya dibawa oleh tikus, namun strain Andes dipercayai boleh menular antara manusia.
Gejala termasuk demam, keletihan melampau, sakit otot, muntah, cirit-birit dan kesukaran bernafas.
Walaupun begitu, pihak kesihatan menegaskan risiko penularan besar adalah rendah.
Sehingga kini, 27 individu masih berada di atas kapal termasuk kru dan petugas perubatan, manakala lebih 90 penumpang telah dihantar pulang ke negara masing-masing dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Kebanyakan mereka kini menjalani pemantauan kesihatan dan kuarantin mengikut prosedur.
WHO mengesyorkan tempoh pengasingan selama 42 hari, namun terdapat pandangan berbeza daripada pihak berkuasa AS yang menyatakan penularan manusia-ke-manusia adalah jarang dan tidak setara dengan COVID-19.
MV Hondius sebelum ini membawa 147 penumpang dan kru dari 23 negara selepas berlepas dari Ushuaia, Argentina pada 1 April.