Penyelam Thai maut dalam misi menyelamatkan pasukan bola sepak di gua

Agensi
Julai 6, 2018 08:25 MYT
Pihak berkuasa, termasuk pasukan penyelamat antarabangsa, sedang berusaha membawa keluar kesemua mangsa dengan selamat sebelum hujan lebat melanda minggu depan yang dapat menghalang operasi menyelamat tersebut. - REUTERS
Seorang bekas anggota Tentera Laut Thailand yang merupakan sebahagian daripada misi menyelamatkan 12 remaja dan seorang jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap di dalam gua dinaiki air mati akibat lemas.
Samarn Poonan, 38 tahun, meninggal dunia pada malam Khamis ketika menghantar bekalan oksigen kepada mangsa-mangsa yang terperangkap.
BACA: Ditemui selamat pada hari ke-10, derita pasukan bola sepak Thai belum berakhir
Komander angkatan darat, laut dan udara (SEAL) Thai, Admirak Arpakorn Yuukongkaew berkata Samarn bersama rakan sekerjanya ditugaskan untuk meletakkan tangki oksigen di sepanjang laluan keluar.
"Dalam perjalanan mereka kembali, Samarn didapati tidak sedarkan diri 1.5km dari pintu gua di dalam air oleh rakan sekerjanya.
“Rakan sekerjanya cuba menyelamatkan Samarn, namun gagal,” kata Admirak.
Kematian Samarn menimbulkan isu tahap risiko yang dihadapi kumpulan bola sepak yang tidak mempunyai pengalaman menyelam, jika mereka diperlukan untuk berenang keluar daripada gua berkenaan.
Namun begitu, Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha berkata ia tidak akan menjejaskan misi pasukan penyelamat.
Pihak berkuasa, termasuk pasukan penyelamat antarabangsa, sedang berusaha membawa keluar kesemua mangsa dengan selamat sebelum hujan lebat melanda minggu depan yang dapat menghalang operasi menyelamat tersebut.
#anggota #bekas #bola sepak #jurulatih #lemas #mati #maut #Perdana Menteri #Prayuth Chan-ocha #Tentera Laut #Thailand