BEIJING: Jalan keluar bagi menamatkan konflik Palestin-Israel terletak pada pelaksanaan "penyelesaian dua negara", kata utusan khas kerajaan China bagi isu Asia Barat, Zhai Jun.

Zhai mengadakan perbincangan menerusi telefon dengan pembantu menteri Jabatan Palestin Kementerian Luar Mesir, Osama Khedr, berhubung perkembangan terkini situasi Palestin-Israel, pada Selasa.

Beliau berkata China amat prihatin terhadap ketegangan yang semakin meruncing antara Palestin dengan Israel dan sedih melihat sejumlah besar korban awam akibat konflik itu.

"Kami (China) menentang dan mengecam tindakan yang membawa mudarat kepada orang awam dan menyeru persetujuan gencatan senjata dicapai serta-merta," kata Zhai.

Utusan khas itu turut meluahkan hasrat ingin mengekalkan komunikasi dan koordinasi dengan Mesir untuk menggerakkan pihak-pihak berkonflik supaya bertindak menghentikan keganasan yang sedang berlaku di Gaza.

"Masyarakat antarabangsa harus membentuk sinergi untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dan mencegah krisis kemanusiaan terutamanya di Gaza bertambah buruk," ujar Zhai.

Dalam pada itu, Khedr menzahirkan penghargaan atas pendirian China dalam isu Palestin, dengan mengatakan bahawa Mesir bersedia bekerjasama dengan China untuk melakukan usaha ke arah meredakan keadaan di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA