Seorang rakyat Australia yang dituduh menembak mati seramai 51 jemaah Islam di dua buah masjid di New Zealand pada Mac tahun lalu, akan mendengar hukuman yang bakal dijatuhkan ke atasnya dalam prosiding minggu hadapan.

Brenton Tarrant, telah didakwa pada Mac atas 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan terlibat dalam tindakan keganasan., selepas menarik semula pengakuan tidak bersalahnya.

Tarrant dijangka akan hadir di mahkamah Christchurch dalam prosiding selama empat hari, bermula Isnin ini.

Kawalan keselamatan akan diperketatkan, dan liputan luar biasa dijangkakan dari pelbagai agensi media.

Portal berita Digital Journal melaporkan, beberapa individu dan ahli keluarga mereka yang terselamat dari serangan itu, dibenarkan untuk berada dalam mahkamah, dan ia merupakan pertemuan pertama mereka dengan Tarrant, sejak insiden yang menggemparkan dunia pada 15 Mac, tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Christchurch Cameron Mander dilaporkan sebagai berkata, hukuman yang bakal diberikan, merupakan satu peristiwa yang amat penting kepada mangsa kejadian.

“Pengakhiran ini, dianggap beberapa pihak sebagai sesuatu yang terbaik dan membawa kelegaan untuk komuniti Islam,” katanya kepada media tempatan.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Arden pula dilaporkan berkata, prosiding itu akan menjadi minggu yang sukar untuk sesetengah pihak.

“Tiada apa yang boleh saya katakan, yang mampu memberi ketenangan kepada mereka yang trauma dan terjejas teruk akibat tragedi itu,” katanya lagi.