Skip to main content

Dunia

Penyokong kerajaan berhimpun di Tehran walaupun hujan lebat dan ancaman serangan

A woman waves an Iranian flag during a campaign in support of the government at the Enqelab-e-Eslami, or Islamic Revolution, square in downtown Tehran, Iran, Sunday, March 22, 2026. (AP Photo/Vahid Salemi)
Seorang wanita melambai bendera Iran semasa kempen menyokong kerajaan di Dataran Enqelab-e-Eslami, atau Dataran Revolusi Islam, di pusat bandar Tehran, Iran. - Foto AP

TEHRAN: Ratusan penyokong kerajaan Iran berhimpun di beberapa lokasi utama di ibu negara pada awal pagi Selasa, meskipun hujan lebat dan ancaman serangan baharu dalam konflik antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel yang kini memasuki hari ke25.

Perhimpunan itu dilaporkan sebagai satu lagi usaha menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan negara dan mengecam operasi ketenteraan AS–Israel.

Advertisement

Menurut imej yang disiarkan agensi berita Mehr, para penunjuk perasaan memenuhi Jalan Valiasr, jalan terpanjang di Tehran, sambil membawa bendera Iran dan melaungkan slogan patriotik yang diperdengarkan melalui pembesar suara.

Hujan lebat tidak menghalang puluhan orang daripada berbaris sepanjang lorong utama tersebut.

Beberapa blok dari situ, ratusan lagi dilaporkan berkumpul di Dataran Enghelab, pusat simbolik yang juga dikenali sebagai 'Revolution Square'.

Kawasan itu dipenuhi potret Pemimpin Agung Iran, Mojtaba Khamenei, serta bekas pemimpin tertinggi negara, sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan negara dalam menghadapi tekanan ketenteraan asing.

Perhimpunan itu berlanjutan sehingga awal pagi.

Suasana sama turut direkodkan oleh agensi Mehr di Karaj, sebuah bandar satelit di barat Tehran, serta di Ilam berhampiran sempadan Iraq dan Sari di utara Iran berdekatan Laut Kaspia.

Laporan menyatakan bahawa walaupun ancaman serangan udara berterusan, para penyokong tetap keluar menunjukkan solidariti terhadap kerajaan.

Himpunan prokerajaan ini berlangsung ketika Iran terus mengecam operasi ketenteraan AS–Israel dan menyifatkannya sebagai tindakan agresif yang melanggar kedaulatan negara.

Protes berskala besar yang menyokong kerajaan sebelum ini turut berlaku di Tehran dan beberapa bandar lain sejak bermulanya konflik, antaranya sebagai tindak balas terhadap serangan udara yang meragut nyawa orang awam dan pegawai tinggi Iran.

 

 

Must Watch Video