DUNIA
Perancis bertekad iktiraf negara Palestin - Menteri Luar

Barrot mengingatkan bahawa sudah tiba masanya untuk membawa penyelesaian politik kepada rakyat Palestin. - Foto Reuters
ISTANBUL: Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot pada Jumaat mengulangi tekad negara itu untuk mengiktiraf Negara Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Perancis bertekad mengiktiraf Palestin: Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, menegaskan bahawa Perancis akan mengiktiraf Negara Palestin sebagai sebahagian daripada usaha menegakkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
- Persidangan dua negara: Perancis dan Arab Saudi, dengan sokongan PBB, akan menganjurkan persidangan di New York hujung bulan ini bagi membincangkan penyelesaian dua negara untuk keamanan dan keselamatan di rantau itu.
- Gesaan untuk keamanan: Barrot menyeru masyarakat antarabangsa agar bertindak dengan keberanian serta menggesa gencatan senjata segera, pembebasan tawanan tanpa syarat, dan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza tanpa halangan.
Barrot mengingatkan bahawa sudah tiba masanya untuk membawa penyelesaian politik kepada rakyat Palestin dan berkata mereka akan memberi tumpuan kepada isu itu semasa persidangan berkaitan penyelesaian dua negara anjuran Perancis dan Arab Saudi dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual berlangsung di New York hujung bulan ini.
"Penyelesaian politik ini melibatkan penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaya maju dengan tadbir urus baharu serta jaminan keselamatan kukuh untuk rakyat Israel dan Palestin," katanya.
Barrot turut menggesa "keberanian" dan "mobilisasi kuat" daripada masyarakat antarabangsa ke arah "jalan keamanan", sambil mengulangi keperluan untuk "gencatan senjata segera, pembebasan segera dan tanpa syarat semua tawanan, serta penghantaran bantuan kemanusiaan secara besar-besaran dan tanpa halangan ke Semenanjung Gaza."
"Penyelesaian dua negara, yang terus kami pegang dengan teguh - sebagai prasyarat untuk keamanan dan keselamatan di rantau ini serta keperluan di bawah undang-undang antarabangsa - kini berdepan ancaman kewujudan: peningkatan tindakan unilateral di lapangan, pencepatan peluasan penempatan dan prospek pengilhakan, kebencian yang semakin mendalam serta keruntuhan proses damai," tegasnya.
Barrot berkata "terlalu ramai" orang awam menjadi mangsa konflik di Gaza yang "berlarutan terlalu lama."
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami