Skip to main content

Advertisement

Dunia

Perancis, India puji hubungan semakin kukuh ketika Modi sambut kedatangan Macron

Indian Prime Minister Narendra Modi, right, welcomes French President Emmanuel Macron in Mumbai, India, Tuesday, Feb 17, 2026. (Photo: AP/Indian Prime Minister Office)
Perdana Menteri Narendra Modi (kanan) menyambut ketibaan Presiden Emmanuel Macron di Mumbai, India, pada Selasa. - Gambar AP

MUMBAI: Perancis dan India memuji hubungan dua hala mereka sebagai antara tonggak penting kestabilan global, ketika Presiden Perancis, Emmanuel Macron memulakan lawatan tiga hari ke India pada Selasa, yang memfokuskan kerjasama teknologi serta pertahanan.

Lawatan itu turut membuka ruang kepada potensi perjanjian bernilai berbilion dolar melibatkan pembelian 114 pesawat pejuang Rafale, dengan pegawai yang mengiringi Macron menyatakan keyakinan bahawa kontrak tersebut boleh dimuktamadkan.

Advertisement

Selepas pertemuan mereka di Mumbai, Perdana Menteri India, Narendra Modi, berkata: “Dalam dunia yang bergolak hari ini, hubungan ini merupakan kerjasama untuk kestabilan global.”

Macron pula menyifatkan “perkembangan pesat” hubungan Perancis–India sebagai respons kepada perubahan dalam tata dunia antarabangsa.

Kedua-dua pemimpin sebelum itu saling merujuk satu sama lain sebagai “sahabat baik” dalam hantaran di media sosial.

Ini merupakan lawatan keempat Macron ke India sejak memegang jawatan pada 2017, dan beliau ditemani isterinya, Brigitte Macron. 

Macron memulakan lawatannya di Mumbai dengan memperingati mangsa serangan pengganas pada 2008 serta bertemu bintang-bintang Bollywood sebelum bertemu Modi.

Lawatan ini berlangsung susulan pengesahan India minggu lalu bahawa ia merancang untuk membuat tempahan besar pesawat Rafale, selain perjanjian perdagangan bebas bersejarah antara India dan Kesatuan Eropah yang ditandatangani pada Januari.

Macron dijadual ke New Delhi pada Rabu dan Khamis bagi menghadiri sidang kemuncak kecerdasan buatan (AI).

Selama sedekad lalu, India berusaha mengurangkan kebergantungan kepada Rusia sebagai pembekal utama aset ketenteraan, dengan membuka peluang kepada negara lain serta menggalakkan pengeluaran dalam negara.

Kenyataan Kementerian Pertahanan India minggu lalu mengesahkan bahawa pembelian pesawat Rafale telah diluluskan, dengan “majoritinya” bakal dibuat di India.

Pakar India di Sciences Po, Christophe Jaffrelot menyifatkan perjanjian bernilai 30 bilion euro (AS$35 bilion) bagi 114 Rafale itu sebagai “kontrak abad ini” - yang bakal menambah kepada 62 pesawat Rafale yang telahpun dibeli India.

Pihak kepresidenan Perancis turut optimis bahawa perjanjian “bersejarah” itu dapat direalisasikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Modi dan Macron turut merasmikan garis pemasangan akhir helikopter pertama di India melalui sidang video. 

Projek itu adalah usaha sama Tata Group dan Airbus, yang akan mengeluarkan model Airbus H125 di Karnataka, berdekatan hab teknologi Bengaluru.

Macron dan Modi juga menyaksikan pemeteraian kerjasama baharu apabila Safran dari Perancis dan Bharat Electronics Limited dari India menandatangani perjanjian menubuhkan usaha sama untuk menghasilkan bom berpandu AASM Hammer.

Perancis kini muncul sebagai antara rakan pertahanan dan ekonomi paling penting bagi India dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Menurut pejabat Macron, melalui lawatan ini, Perancis berhasrat mengukuhkan lagi hubungan serta memperluaskan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan India.

India, yang kini negara paling ramai penduduk dengan 1.4 bilion orang, berada di landasan untuk menjadi ekonomi keempat terbesar dunia.

Perbincangan minggu ini turut dijangka menyentuh situasi ekonomi global yang tidak menentu ekoran dasar tarif Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump, serta pengaruh China yang semakin meluas di rantau ini.

Perdagangan dua hala Perancis–India kini dianggarkan sekitar AS$18 bilion setahun, dipacu oleh sektor pertahanan dan aeroangkasa - termasuk pesawat komersial Airbus yang digunakan secara meluas oleh syarikat penerbangan India.

Pelaburan langsung asing Perancis di India kini berjumlah hampir AS$15 bilion.

Hubungan peribadi kedua-dua pemimpin juga dilaporkan semakin akrab, yang menurut Jaffrelot, wujud “keserasian dan hubungan peribadi yang baik” antara mereka.

Namun, satu isu yang masih menjadi cabaran ialah pendirian India mengenai konflik di Ukraine. 

India tidak mengutuk pencerobohan Rusia pada 2022 dan masih meneruskan pembelian minyak dari Moscow.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mendakwa, India telah bersetuju untuk menghentikan pembelian itu, tetapi tiada pengesahan rasmi daripada New Delhi.

Dalam sidang media bersama Modi di Mumbai, Macron menggesa India menyokong moratorium segera yang berkekalan terhadap serangan ke atas orang awam dan infrastruktur awam di Ukraine. - Agensi

Must Watch Video