PARIS: Perancis telah mula mengeluarkan pelancong dari wilayah seberangnya di New Caledonia selepas beberapa hari pergolakan di kepulauan Pasifik itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pelancong Perancis diterbangkan ke Australia dan New Zealand dengan pesawat tentera pada Sabtu, lapor stesen berita BMFTV. Mereka kemudian akan pulang ke negara asal dengan penerbangan komersial.

Keadaan darurat telah diumumkan di New Caledonia sejak minggu lalu selepas gelombang rusuhan yang menyebabkan tujuh orang terbunuh dan ratusan ditahan.

Perancis telah mengerahkan pasukan keselamatan tambahan ke kepulauan itu. Australia dan New Zealand telah mula memindahkan penduduk mereka awal minggu ini dengan Lapangan Terbang Noumea masih ditutup untuk semua penerbangan komersial.

Protes bermula sebagai tindak balas terhadap cadangan pembaharuan pilihan raya yang akan memberikan hak mengundi kepada warga Perancis dalam pilihan raya provinsi selepas 10 tahun menetap di wilayah berkenaan.

Penduduk asli Kanak di New Caledonia, yang telah lama memperjuangkan kemerdekaan, menuduh Paris meneruskan pembaharuan kontroversi itu tanpa mengambil kira tentangan kuat dalam kalangan majoriti penduduk wilayah berkenaan.

Semasa lawatan ke wilayah itu pada Khamis, Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata beliau akan menghentikan pembaharuan berkenaan sehingga keadaan tenang dan perbincangan politik dapat disambung semula.

Dalam tiga referendum pada 2018, 2020 dan 2021, penduduk bekas tanah jajahan Perancis itu mengundi untuk kekal sebagai sebahagian daripada Perancis. Namun, sejak undian terakhir yang diboikot oleh golongan pemisah, perbincangan mengenai status baharu telah terhenti.

-- BERNAMA