PARIS: Menteri Pendidikan Perancis Edouard Geffray merancang untuk bertemu pelajar sekolah menengah dan mahasiswa bagi membincangkan tuntutan mereka, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pertemuan itu diadakan selepas beberapa hari protes yang ada kalanya bertukar ganas oleh golongan muda yang tidak berpuas hati dengan keadaan sistem pendidikan negara itu.
Geffray berkata kira-kira 400 sekolah menengah akan kekal ditutup pada Jumaat dan pembelajaran jarak jauh akan ditawarkan ketika demonstrasi berterusan.
Menurut laporan media, orang ramai dilarang mengadakan demonstrasi berhampiran sekolah yang ditutup itu.
Pelajar sekolah menengah mengadakan demonstrasi selama beberapa hari di seluruh Perancis, menyuarakan kemarahan mereka terhadap bangunan sekolah yang uzur serta kekurangan tenaga pengajar.
Demonstrasi itu kemudiannya merebak ke universiti.
Protes berulang kali bertukar menjadi keganasan dan Kementerian Dalam Negeri memberi amaran mengenai “kekacauan bandar”.
Anggota penguat kuasa diserang manakala puluhan pelajar dan kakitangan sekolah cedera. Ribuan orang ditahan.
Menteri Kehakiman Gerald Darmanin mencadangkan agar ibu bapa membayar kos kerosakan yang dilakukan oleh anak mereka ketika demonstrasi.
-- BERNAMA-dpa