DAVOS: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Anthony Blinken menafikan negara itu hanya mengutamakan bangsa Yahudi di Israel berbanding penduduk Muslim dan Kristian di Palestin.

Beliau berkata apa yang berlaku di Gaza ketika ini adalah "menyayat hati dan meruntun jiwa" beliau.

"Saya fikir bagi kebanyakan kita apa yang kita lihat setiap hari di Gaza, menyayat hati. Penderitaan yang kita lihat dalam kalangan lelaki, wanita dan kanak-kanak, menghancurkan hati saya.

"Persoalannya, apa yang perlu dilakukan? Kami membuat pertimbangan tentang cara kami fikirkan paling berkesan untuk cuba mendapatkan lebih banyak bantuan kemanusiaan, untuk mendapatkan perlindungan yang lebih baik dan meminimumkan korban awam.

"Kami bukan sahaja berjaya menjayakan pembebasan (tahanan), kami telah melihat beberapa kemajuan dalam bidang yang menunjukkan kerjasama kami," katanya pada sesi Conversation With Anthony Blinken di World Economic Forum (WEF) di Davos, Switzerland.

Beliau tegaskan AS terus memberikan komitmen terhadap dua perkara iaitu membuat pertimbangan yang bersesuaian berkait perang di Gaza dan pada masa sama cuba mencari penyelesaian berbeza setiap hari.

"Kami membuat pertimbangan terbaik dan adakalanya ia salah.

"Namun ia memberikan satu bentuk keyakinan bahawa mungkin ada cara lain untuk menyelesaikan kegusaran Israel iaitu Israel mahukan keselamatan," katanya.

Sementara itu Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan pula membawa nada sedikit berbeza dengan memberikan gambaran dunia kini memasuki era baharu yang dilihat mudah namun jauh lebih kompleks.

"Saya berpendapat kita sudah memasuki era baharu. Era ini ditanda dengan satu perkara mudah tetapi mempunyai realiti yang kompleks yang mana persaingan strategik pada era kesalingbergantungan.

"Kuasa besar amat bergantung satu sama lain tetapi mereka juga sangat kompetitif. Bagi Amerika Syarikat, ia bermakna pada asasnya, melabur dalam negara kami dan rakan sekutu supaya kami boleh bersaing dengan efektif, namun pada masa sama kami juga mahu selesaikan masalah dunia, rakan dan pesaing kami," katanya dalam sesi khasnya di WEF 2024.

Terdahulu dalam satu sesi Timbalan Pengarah Eksekutif UNICEF, Kitty van der Heijden dalam sesi penerangan berkaitan bantuan kemanusiaan di Gaza berkata,apa yang berlaku di Gaza adalah sesuatu yang tidak pernah disaksikan oleh badan itu.

"Jika ada satu perkataan untuk gambarkan kadaan kanak-kanak di Gaza, ia adalah malapetaka. Saya ulang, malapetaka.

"Tidak ada kanak-kanak dan tempat di Gaza yang selamat," katanya.