LEBIH 263,000 orang dilapor kehilangan tempat tinggal di Gaza susulan serangan udara berterusan oleh Israel, dengan jumlah itu dijangka terus meningkat.

Statistik terbaharu itu didedahkan oleh Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) pada awal Rabu.

Memetik CNN, OCHA memaklumkan, daripada jumlah keseluruhan yang dipindah, sekurang-kurangnya 175,486 orang mencari perlindungan di sekolah milik Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Perpindahan baharu itu menambah kepada kira-kira 3,000 penduduk Palestin yang dipindahkan sebelum ini.

"Serangan udara Israel telah menyasarkan pemasangan telekomunikasi, memusnahkan dua daripada tiga talian utama untuk komunikasi mudah alih yang telah mengganggu perkhidmatan mudah alih dan internet," kata OCHA seperti dilapor media antarabangsa itu.

Agensi itu menambah, pertambahan angka tersebut meningkatkan beban kes bagi organisasi kemanusiaan untuk memenuhi keperluan asas mereka yang terjejas seperti tempat tidur, makanan, serta kemudahan sanitasi.

OCHA berkata, keperluan asas seperti akses kepada air turut menjadi cabaran akibat kerosakan dan pengurangan bekalan kuasa kepada infrastruktur kumbahan.