PERJANJIAN antara Zionis Israel dan pejuang Hamas untuk membebaskan sehingga 50 tawanan yang ditahan di Gaza gagal dicapai disebabkan pelancaran operasi darat Israel pada 27 Oktober lalu.

Laporan New York Times berkata, serangan darat Israel itu menyebabkan rundingan berkenaan gagal, namun ia digerakkan semula oleh Qatar.

Pada Rabu, Reuters dan AFP melaporkan perjanjian pengantaraan Qatar boleh menyaksikan antara 10 hingga 15 tawanan dibebaskan sebagai pertukaran dalam pertempuran.

Sumber juga memberitahu Al Jazeera bahawa pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) William Burns akan tiba di Qatar pada Khamis untuk rundingan mengenai pembebasan tawanan.

Reuters melaporkan, rundingan pembebasan tahanan sedang berjalan sebagai pertukaran untuk jeda kemanusiaan selama satu hingga dua hari di Gaza.

Sumber keselamatan Mesir juga berkata, gencatan senjata 24 hingga 48 jam atau batasan zon utama operasi dijangka dalam minggu depan sebagai balasan kepada pembebasan tebusan.

Difahamkan, Amerika Syarikat (AS) dan negara lain telah meningkatkan tekanan ke atas Israel untuk menyelesaikan soal itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, sistem kesihatan Gaza runtuh dilanda serangan udara, dibanjiri pesakit dan kehabisan ubat-ubatan dan bahan api.