“Perasaan yang sukar digambarkan” - Penduduk Palestin sambut gencatan senjata dengan rasa syukur,

Penduduk Palestin bereaksi berhampiran runtuhan selepas pasukan Israel berundur dari kawasan itu susulan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, pada Jumaat. - Gambar Reuters
GAZA: Penduduk Palestin menyambut berita gencatan senjata dengan penuh rasa syukur dan kelegaan - ada yang mengagihkan manisan, menunaikan solat kesyukuran serta melaungkan takbir di kawasan Tal al-Hawa, Bandar Gaza pada Jumaat, selepas bangun pagi dengan harapan terhadap berakhirnya serangan Israel yang berlarutan.
Raghad Izzat Hamouda, wanita berusia 20 tahun yang dipindahkan ke kawasan itu, menggambarkan momen itu sebagai “perasaan yang sukar digambarkan” selepas Israel dan Hamas mencapai peringkat pertama perjanjian gencatan senjata pada Rabu.
“Orang ramai menjerit kegembiraan di jalanan,” katanya kepada CNN.
“Bayangkan anda terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai selama dua tahun - di bawah pengeboman, kelaparan, kemusnahan dan ketakutan.”Namun, bagi ramai yang lain, kegembiraan itu hanya sementara.
Kini mereka dibelenggu kebimbangan tentang bagaimana untuk membina semula kehidupan selepas hampir 740 hari berdepan pengeboman dan sekatan.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertarikh 7 Oktober, lebih 90 peratus unit perumahan di Gaza telah musnah atau rosak akibat serangan.
Pada Jumaat sahaja, sekurang-kurangnya 132 mayat penduduk Palestin ditemui dari timbunan runtuhan, menurut pegawai hospital tempatan.
Jamal Al Rozzi, seorang pekerja bantuan kemanusiaan Palestin berusia 50-an berkata, dia bimbang rakyat Gaza akan mula merasai hakikat sebenar kehilangan apabila keadaan kembali tenang.
“Mereka akan tersedar - apabila bangun dan mula melihat kehidupan mereka, apa yang telah hilang, apa yang tidak lagi mereka miliki,” katanya kepada CNN.
Al Rozzi, yang melarikan diri dari Gaza ke Kaherah pada April 2024, menambah: “Anak-anak tidak bersekolah selama dua tahun. Ada ahli keluarga yang telah pergi. Anda tiada rumah, tiada pekerjaan, tiada pendapatan,” ujarnya.
“Penderitaan ini mungkin berlanjutan selama bertahun-tahun.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami