DUNIA
Perbicaraan baharu kematian Diego Maradona diadakan di luar Buenos Aires
Maradona meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada November 2020 ketika berusia 60 tahun, beberapa minggu selepas menjalani pembedahan bagi membuang darah beku di otaknya. - Gambar fail/ Reuters
BUENOS AIRES: Perbicaraan baharu berkaitan kematian legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona, akan diadakan di luar Buenos Aires, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ringkasan AI
- Perbicaraan baharu berkaitan kematian Diego Maradona akan diadakan di Mahkamah Jenayah Ketujuh di San Isidro selepas perbicaraan pertama dibatalkan kerana skandal melibatkan seorang hakim.
- Tujuh petugas perubatan sedang dibicarakan atas dakwaan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Maradona, yang meninggal dunia pada 2020 akibat kegagalan jantung selepas pembedahan otak.
- Tarikh perbicaraan baharu belum ditetapkan dan dijangka ditangguhkan sehingga 2026 disebabkan jadual mahkamah yang padat serta kemungkinan taktik melengah-lengahkan oleh pihak pembelaan.
Menurut laporan media pada Khamis, Mahkamah Jenayah Ketujuh di San Isidro, berhampiran ibu negara Argentina, telah dipilih secara undian untuk mengendalikan perbicaraan itu susulan skandal melibatkan seorang hakim sebelum ini.
Tujuh petugas perubatan sedang dibicarakan atas kemungkinan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap pemain bola sepak terkenal itu pada 2020.
Perbicaraan baharu itu akan dikendalikan oleh tiga hakim - Roberto Gaig, Alejandro Lago dan Alberto Ortolani.
Perbicaraan pertama telah diisytiharkan terbatal pada akhir Mei selepas berlangsung selama kira-kira dua setengah bulan, berikutan pendedahan bahawa hakim terlibat, Julieta Makintach turut terlibat dalam penerbitan dokumentari tidak dibenarkan mengenai perbicaraan itu.
Makintach kini digantung tugas dan sedang menunggu prosiding pemecatan berasingan.
Tarikh baharu bagi prosiding utama belum diputuskan, namun kalangan kehakiman menjangkakan perbicaraan ditangguhkan sehingga 2026.
Antara sebab yang dikemukakan termasuk jadual mahkamah yang padat dan jangkaan taktik melengah-lengahkan perbicaraan oleh pihak pembelaan.
Maradona meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada November 2020 ketika berusia 60 tahun, beberapa minggu selepas menjalani pembedahan bagi membuang darah beku di otaknya.
Pejabat Pendakwa Raya mendakwa petugas perubatan terlibat cuai secara serius dalam penjagaan kesihatan beliau.
-- BERNAMA