Perbicaraan terhadap Imam Masjid Al-Aqsa bermula

Sheikh Ekrima Sabri hadir di mahkamah Israel dengan menaiki kerusi roda, ditemani para peguam dan beberapa penyokong Palestin. - Gambar Instagram ramallah.mix
ISTANBUL: Imam Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur, Sheikh Ekrima Sabri hadir di mahkamah Israel pada Selasa bagi berdepan pertuduhan "menghasut", lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pertuduhan yang difailkan pendakwa raya Israel pada Ogos 2024 itu berkaitan dua ucapan takziah yang disampaikan beliau pada 2022, serta ucapan berkabungnya susulan kematian bekas ketua Hamas, Ismail Haniyeh yang dibunuh di ibu negara Iran pada 2024.
Menurut wartawan Anadolu, pertuduhan terhadap imam berkenaan dibacakan pada sesi perbicaraan di Mahkamah Majistret.
Penceramah berusia 87 tahun itu tiba di mahkamah dengan menaiki kerusi roda, ditemani para peguam dan beberapa penyokong Palestin.
"Amalan penjajah Israel adalah ditolak, tidak berasas, tidak sah dan tidak berperikemanusiaan."
"Israel hanya mahu membungkam suara yang menentang pencerobohan pendatang Yahudi ekstremis ke dalam Masjid Al-Aqsa.
"Segala tindakan mereka menyasarkan Masjid Al-Aqsa dan pendirian tegas kami terhadap tapak suci itu, yang kami tidak akan tinggalkan.
"Kami tidak akan sesekali mengalah kerana Masjid Al-Aqsa adalah sebahagian daripada akidah kami dan apa yang berlaku adalah pencabulan terhadap kesuciannya.
"Pihak penjajah sedang berusaha membungkam suara kami dan menutup suara penentang yang menentang ekstremis Israel," katanya kepada Anadolu.
Beliau berkata, pihak berkuasa Israel cuba menyebarkan ketakutan dalam kalangan rakyat Palestin untuk melemahkan penentangan mereka terhadap penjajahan.
"Kami akan tetap teguh dan beristiqamah, insya-Allah."
Peguam bela Khaled Zabarka berkata, sesi perbicaraan pada Selasa itu hanya bersifat prosedur serta menyifatkan pertuduhan terhadap imam berkenaan sebagai "rekaan".
"Kami akan meminta mahkamah mengemukakan bukti tambahan yang kami anggap perlu untuk menyangkal pertuduhan ini.
"Pertuduhan ini melambangkan kesinambungan dasar pendudukan yang bersifat perkauman dan bersifat pendakwaan politik terhadap Sheikh Sabri dan tokoh Baitulmuqaddis lain bagi menyekat peranan serta pengaruh mereka," katanya.
Beliau berkat,a penceramah itu turut berdepan tekanan berterusan daripada pihak berkuasa Israel, "selain kempen hasutan hebat oleh kumpulan pelampau berhaluan kanan yang secara terbuka menyeru agar beliau disasarkan dan dibunuh."
Selepas pertuduhan, mahkamah menetapkan sesi perbicaraan seterusnya pada 6 Jan 2026.
Pada Ogos 2024, Israel mengharamkan Sheikh Sabri daripada memasuki Masjid Al-Aqsa selama enam bulan kerana menyampaikan ucapan takziah atas kematian Haniyeh.
Pihak berkuasa Israel berkali-kali mengenakan tindakan terhadap imam Palestin itu berhubung khutbah beliau yang menyokong Gaza, selain hasutan berterusan terhadapnya oleh pegawai di Tel Aviv, termasuk Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir dan Menteri Dalam Negeri Moshe Arbel.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

