Skip to main content

Dunia

Perbincangan dengan Lembaga Keamanan ‘ditangguhkan’ akibat perang Iran, kata Indonesia

KUALA LUMPUR, Oct 27 — Indonesia’s Foreign Affairs Minister Sugiono speaks at the 26th ASEAN–Republic of Korea (ROK) Summit in conjunction with the 47th ASEAN Summit and Related Summits at the Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) today.  -- fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHT RESERVED
Sugiono berkata, Presiden Prabowo bersedia menjadi orang tengah dalam perang Iran dalam usaha “menenangkan dan mengurangkan ketegangan di rantau itu.” - Gambar fail Bernama

JAKARTA: Menteri Luar Negeri Indonesia berkata, rundingan mengenai Board of Peace (Lembaga Keamanan) anjuran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang turut disertai Indonesia sebagai penyumbang pasukan utama kini ditangguhkan berikutan perang di Asia Barat.

Lembaga Keamanan itu pada asalnya ditubuhkan bagi memastikan usaha pembinaan semula pasca-konflik di Gaza dapat dilaksanakan dengan berkesan. 

Advertisement

Serangan udara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran telah mengorbankan ramai orang awam, mengganggu pengangkutan udara global dan menyebabkan harga minyak melonjak selepas Selat Hormuz hampir ditutup sepenuhnya.

“Semua perbincangan BoP ditangguhkan kerana semua perhatian telah beralih kepada situasi di Iran,” kata Menteri Luar Negeri Sugiono sebagai respons terhadap pertanyaan mengenai gesaan supaya Indonesia keluar daripada lembaga itu selepas konflik baharu meletus di Asia Barat.

“Kami juga akan berunding dengan rakan-rakan dan rakan sejawatan di Teluk kerana mereka juga sedang diserang,” kata Sugiono kepada wartawan selepas menghadiri sebuah acara bersama Presiden Prabowo Subianto pada Selasa.

Penyertaan Indonesia dalam lembaga itu telah mengundang kritikan daripada pakar serta kumpulan Muslim dalam negara, yang menyatakan bahawa langkah itu menjejaskan sokongan tegas Indonesia terhadap perjuangan Palestin.

Indonesia secara konsisten menyokong penyelesaian dua negara.

Majlis Ulama Indonesia (MUI), sebuah badan ulama utama, pada 1 Mac berkata Indonesia wajar menarik diri daripada lembaga tersebut, memetik serangan Trump terhadap Iran sebagai faktor yang menyebabkan inisiatif itu tidak lagi berkesan.

Sementara itu, Nahdlatul Ulama (NU), organisasi Muslim terbesar di Indonesia, menyatakan Jakarta perlu menggunakan kedudukannya untuk menekan Israel dan Amerika Syarikat agar menghentikan keganasan.

Trump pertama kali mencadangkan pembentukan lembaga itu pada September lalu ketika beliau melancarkan rancangan untuk menamatkan perang Israel di Gaza, sebelum memperluaskan mandatnya bagi menangani konflik global lain yang lazimnya dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sugiono turut berkata, Prabowo bersedia menjadi orang tengah dalam perang Iran dalam usaha “menenangkan dan mengurangkan ketegangan di rantau itu.”

Indonesia sedang mempersiapkan 1,000 anggota tentera untuk dihantar ke Gaza seawal April sebagai sebahagian daripada pasukan pengaman multinasional yang dicadangkan. 

Misi tersebut berada di bawah International Stabilization Force yang diberi mandat oleh PBB.

Indonesia juga diberikan peranan sebagai timbalan komander pasukan itu. - Agensi

Must Watch Video