DUNIA
Perbincangan sempadan Thailand-Kemboja fokus penyelesaian jangka panjang

Thailand menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan pertikaian secara aman, berasaskan undang-undang antarabangsa dan saling menghormati kedaulatan. - Gambar fail/ Reuters
ANGKOK: Thailand menggariskan empat agenda utama untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Thailand-Kemboja yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.
Jurucakap kerajaan, Jirayu Huangsap berkata mesyuarat GBC yang berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos itu menjadi platform penting bagi kedua-dua negara untuk menangani dan menyelesaikan isu berkaitan sempadan bersama.
Beliau mengesahkan bahawa pemerhati dari Amerika Syarikat dan China turut hadir dalam mesyuarat berkenaan.
"Antara agenda utama hari ini ialah usaha membina semula kepercayaan antara angkatan tentera kedua-dua negara, mengesahkan semula persetujuan gencatan senjata bersama, melaksanakan langkah bagi meredakan ketegangan di kawasan berisiko tinggi, serta memastikan perlindungan orang awam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Jirayu, yang turut menganggotai Pasukan Petugas Khas Mengurus Situasi Sempadan Thailand-Kemboja (STF-TCB), berkata Timbalan Menteri Pertahanan, Jeneral Natthaphon Nakpanich yang mengetuai delegasi Thailand telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya awal hari ini.
"Kunjungan itu adalah untuk menyampaikan penghargaan Thailand terhadap peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, khususnya dalam usaha mempromosi keamanan serantau serta menjadi tuan rumah mesyuarat GBC ini," katanya.
Beliau menambah bahawa Thailand sekali lagi menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan pertikaian secara aman, berasaskan undang-undang antarabangsa dan saling menghormati kedaulatan.
"Kerajaan Thailand memberi jaminan kepada orang awam bahawa segala tindakannya dibuat mengikut undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan, tanpa menggunakan kekerasan berlebihan atau menyasarkan kawasan didiami penduduk awam.
"Usaha ini bertujuan mencapai penyelesaian yang bermaruah, adil dan berkekalan, sekali gus meletakkan asas bagi kerjasama jangka panjang," katanya.
Menurut Jirayu lagi, Pemerintah Tertinggi Jeneral Songwit Noonpakdee; Ketua Turus Tentera Darat Diraja Thailand Jeneral Thongchai Rodyoi; Ketua Turus Tentera Laut Diraja Thailand Laksamana Phairoj Fuangchan; dan Ketua Turus Tentera Udara Diraja Thailand Ketua Marsyal Udara Watcharapol Muangnoi; serta pegawai kanan dari Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri dan agensi keselamatan berkaitan akan menghadiri mesyuarat GBC yang dijadualkan berlangsung pada 1 tengah hari waktu tempatan.
Pada Selasa, Anwar menyuarakan keyakinan bahawa pertikaian sempadan yang berlarutan antara Thailand dan Kemboja dapat mencapai kemajuan dalam mesyuarat Khamis ini, dengan kedua-dua pihak berusaha ke arah penyelesaian.
Anwar berkata menteri pertahanan kedua-dua negara akan menghadiri perbincangan itu dengan matlamat mencapai sekurang-kurangnya persefahaman bersama untuk mengekalkan atau mengesahkan semula gencatan senjata dan mencegah sebarang pelanggaran lanjut, terutamanya di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Pada 28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dan serta-merta susulan mesyuarat khas di Putrajaya yang dianjurkan oleh Anwar.
Dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai bersetuju untuk mengadakan mesyuarat GBC sebagai sebahagian daripada rangka kerja gencatan senjata.
-- BERNAMA
Dapatkan berita ASEAN 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami