BANGI: Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (Certified Integrity Officer, CeIO) yang berlangsung di Bangi pada Selasa diadakan dalam kawalan keselamatan yang ketat berikutan kehadiran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Difahamkan, langkah keselamatan itu dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian kekecohan seperti yang berlaku semasa program Wacana Ilmiah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 7 April lalu daripada berulang.
Advertisement
Tinjauan di lokasi mendapati setiap pintu masuk dikawal oleh pasukan Skuad Taktikal Khas (ACTS) SPRM, selain kehadiran polis bantuan serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Petugas media yang hadir turut diwajibkan menjalani proses pendaftaran dan hanya dibenarkan membuat liputan selepas diberikan pas khas.
Majlis yang bermula pada jam 8.30 pagi itu bagaimanapun berjalan lancar tanpa sebarang gangguan tidak diingini.
Sebelum ini, media melaporkan Tan Sri Azam dipercayai diganggu oleh dua individu ketika sedang berucap dalam program Wacana Ilmiah Perdana di WTCKL.
Kedua-dua individu tersebut dilaporkan secara tiba-tiba bangun sambil mengangkat sepanduk yang mengandungi kecaman terhadap beliau, selain melaungkan beberapa kenyataan.
Keadaan bertukar tegang apabila salah seorang daripada individu terbabit menjerit dan cuba meluru ke arah pentas sebelum bertindak pantas pihak keselamatan menahannya.