Pergerakan kemanusiaan di Gaza bertambah baik, namun peningkatan skala bantuan tertunda

Jurucakap OCHA, Jens Laerke berkata, situasi di lapangan kekal "amat tidak menentu," namun terdapat tanda kemajuan. - Gambar Reuters
GENEVA: Pergerakan kemanusiaan di Gaza bertambah baik dalam beberapa hari kebelakangan ini, membolehkan pasukan kini "masuk ke kawasan yang sebelum ini terputus hubungan," kata pejabat hal ehwal kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jurucakap Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Jens Laerke berkata, situasi di lapangan kekal "amat tidak menentu," namun terdapat tanda kemajuan.
"Saya mempunyai bukti daripada rakan kami di lapangan yang mengatakan kakitangan kemanusiaan kini dapat bergerak dengan lebih mudah di banyak kawasan.
"Pasukan kini dapat sampai ke tempat yang sebelum ini terputus hubungan," katanya pada taklimat PBB di Geneva."Jadi sekatan pergerakan di dalam Gaza jelas lebih baik sekarang berbanding sebelum ini," katanya, sambil menyatakan yang pasukan menggunakan peluang itu untuk menempatkan bekalan lebih awal dan menghantar bantuan sebanyak mungkin.
Menurut OCHA, sepanjang hujung minggu, 310,000 pergerakan individu direkodkan, kebanyakannya dari selatan ke utara Gaza, bersama-sama 23,000 pergerakan tambahan ke arah lain.
Laerke juga menyentuh tentang kemasukan bantuan kemanusiaan, menyatakan yang walaupun peningkatan skala dirancang di bawah pelan gencatan senjata 20 perkara, pelaksanaannya masih belum bermula.
Beliau berkata, 190,000 metrik tan bantuan kini ditempatkan di seluruh rantau itu, termasuk di Jordan, Tebing Barat dan Mesir, menunggu kelulusan untuk penghantaran ke Gaza. Angka itu meningkat daripada 170,000 metrik tan yang dilaporkan sebelum ini.
Laerke berkata, PBB kekal berazam untuk mengembangkan operasi walaupun terdapat ketidakpastian mengenai bila penghantaran bantuan berskala besar akan bermula, sambil menegaskan, "kami memerlukan peningkatan skala ini. Kami tidak akan berhenti sehingga kami mendapatkannya."
"Tetapi ia di luar kawalan kami bila ia akan berlaku," katanya.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan minggu lalu yang Israel dan Hamas bersetuju dengan fasa pertama pelan yang beliau bentangkan pada 29 Sept untuk membawa gencatan senjata ke Gaza, membebaskan semua tawanan Israel sebagai pertukaran bagi tahanan Palestin dan pengunduran secara beransur-ansur tentera Israel dari seluruh Semenanjung Gaza.
Fasa pertama perjanjian itu mula berkuat kuasa pada Jumaat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami