PARA pemimpin dunia kembali ke sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York minggu ini, dengan fokus kepada usaha memerangi perubahan iklim dan pandemik COVID-19.

Susulan kes koronavirus masih tinggi di tengah-tengah pengedaran vaksin, beberapa daripada 193 buah negara merancang menghantar video ucapan masing-masing, sama seperti yang dilakukan tahun lalu.

Namun, beberapa presiden, perdana menteri dan menteri luar dijangka tetap akan melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat berusaha untuk menghalang para pemimpin dari datang ke New York bagi mengelakkan Perhimpunan Agung PBB mencetuskan kluster baharu COVID-19, walaupun presidennya Joe Biden akan berucap secara langsung pada perhimpunan itu buat pertama kali sejak memegang jawatan.

Sistem penghormatan (honor system) PBB bermaksud sesiapa yang memasuki dewan perhimpunan menyatakan bahawa mereka telah diberikan vaksin, bagaimanapun mereka tidak perlu menunjukkan bukti.

Sistem tersebut juga akan terjejas apabila negara pertama berucap, iaitu Brazil, kerana presidennya Jair Bolsonaro minggu lalu menyatakan beliau tidak memerlukan vaksin kerana telah mempunyai perlindungan selepas dijangkiti virus itu.

Sekiranya beliau mengubah fikiran, bandar New York akan menyediakan sebuah van di luar PBB selama seminggu untuk menyediakan ujian saringan dan suntikan vaksin Johnson & Johnson secara percuma.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata, isu berkaitan berapa ramai diplomat yang melakukan perjalanan dan telah divaksin menggambarkan ketidaksamarataan berkaitan dengan vaksinasi yang berlaku di seluruh dunia.

Beliau mendesak pelan global untuk menvaksinasi 70 peratus penduduk dunia menjelang separuh masa pertama tahun depan.

Biden akan menganjurkan pertemuan maya dari Washington dengan para pemimpin dan ketua eksekutif pada Rabu, yang bertujuan meningkatkan pengedaran vaksin di seluruh dunia.

Beliau akan berada di New York hanya selama kira-kira 24 jam, bertemu dengan Guterres pada Isnin dan menyampaikan ucaptama PBB pertamanya pada Selasa, selepas Bolsonaro.

Utusan PBBnya Linda Thomas-Greenfield berkata, Biden akan membincangkan mengenai mengakhiri wabak COVID-19, memerangi perubahan iklim, mempertahankan hak asasi manusia, demokrasi dan dasar peraturan antarabangsa.

Antara topik lain yang dijangka dibincangkan para pemimpin selama seminggu itu adalah konflik Afghanistan dan nuklear iran.