QUITO: Perhimpunan Kebangsaan Ecuador pada Selasa memulakan prosiding pemecatan terhadap Presiden Guillermo Lasso, atas tuduhan penyelewengan.

Perbicaraan bermula pada 10 pagi waktu tempatan (1500 GMT), dengan kehadiran 109 daripada 137 ahli parlimen yang terdiri daripada Kongres, di mana pembangkang mewakili majoriti kerusi.

Lasso, bekas jurubank berusia 67 tahun, dituduh dengan sengaja mengabaikan dakwaan rasuah melalui kontrak kerajaan kepada syarikat minyak swasta.

"Tanggungjawab politik presiden tidak dapat dinafikan, kerana kami yakin bahawa beliau bukan sahaja mengetahui dan membenarkan rasuah, tetapi beliau adalah sebahagian daripadanya," dakwa ahli parlimen Viviana Veloz dari gabungan pembangkang Union for Hope (Unes) yang diketuai bekas presiden Rafael Correa (2007-2017), lapor Xinhua.

Lasso dalam hujah pembelaannya menuduh pembangkang membuat "tuduhan tidak masuk akal" untuk mewujudkan ketidakstabilan.

"Apa yang dipertaruhkan bukan hanya keberkesanan sebuah kerajaan, tetapi Ecuador sebagai sebuah negara. Mereka meletakkan demokrasi dalam bahaya.

"Tiada bukti atau keterangan berkaitan. Satu-satunya perkara yang ada ialah maklumat yang membuktikan saya tidak bersalah secara total, jelas dan tidak boleh dipertikaikan," kata Lasso.

Lasso menegaskan bahawa kontrak itu ditandatangani pada 2018 dan diperbaharui pada 2020, sebelum beliau menjadi presiden pada Mei 2021, dan beliau tidak terlibat dalam urusan perniagaan syarikat milik negeri.

Ini adalah kali pertama dalam tempoh 44 tahun Ecuador sebagai sebuah negara demokrasi, seorang presiden menghadapi kemungkinan penyingkiran oleh institusi perundangan.

Undian mengenai pemecatan boleh dilakukan seawal 20 Mei.

Prosiding pemecatan memerlukan kelulusan dua pertiga anggota dewan.

Perbicaraan itu menggugat keharmonian negara, yang telan melalui tempoh pergolakan politik antara Ogos 1996 dan Januari 2007, apabila Ecuador yang ditadbir oleh tujuh presiden dengan tiga daripadanya digulingkan.

Beratus-ratus penyokong Lasso dari seluruh negara tiba di Quito Selasa bagi menzahirkan sokongan mereka dengan berkumpul di luar Dewan Negara.

-- BERNAMA