INTERNATIONAL
Perintah penutupan oleh Israel jejaskan pendidikan 800 pelajar Palestin di Baitulmuqaddis Timur - PBB

Pihak berkuasa Israel mengarahkan sekolah-sekolah di Kem Pelarian Shu'fat ditutup selewat-lewatnya 8 Mei. - AP
ANKARA: Perintah penutupan enam sekolah yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki Israel berisiko menafikan hak pendidikan kepada kira-kira 800 pelajar Palestin, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pihak berkuasa Israel mengarahkan sekolah-sekolah di Kem Pelarian Shu'fat ditutup selewat-lewatnya 8 Mei atas alasan tidak memiliki lesen sah. Di bawah perintah itu, semua individu termasuk pengetua, guru dan kakitangan lain dilarang memasuki premis sekolah.
"Perintah ini melanggar tanggungjawab Israel di bawah undang-undang antarabangsa," menurut UNRWA dalam kenyataan.
Pada Selasa, satu delegasi bersama melibatkan 12 rakan UNRWA melawat kem itu sebagai tanda sokongan antarabangsa menentang penutupan itu dan bagi mendengar sendiri pandangan pelajar, ibu bapa dan guru mengenai situasi semasa."Sekolah-sekolah UNRWA di Shu'fat telah menjadi sebahagian daripada struktur sosial kem itu selama beberapa dekad, membolehkan kanak-kanak menikmati pendidikan berkualiti berhampiran kediaman mereka," kata agensi itu.
"Anak-anak perempuan kini bimbang impian mereka untuk menjadi doktor atau ahli sains musnah sekiranya mereka kehilangan akses kepada pendidikan," katanya.
Perintah penutupan itu dilihat sebagai sebahagian daripada kempen lebih luas oleh Israel terhadap UNRWA dan mandatnya dalam memberikan perkhidmatan kepada pelarian Palestin.
Pada Oktober 2024, Knesset (parlimen) Israel meluluskan dua undang-undang yang melarang operasi UNRWA di Israel dan wilayah yang didudukinya serta menghalang sebarang hubungan pihak berkuasa Israel dengan agensi itu. Undang-undang itu berkuat kuasa pada 30 Jan.
Israel mendakwa kakitangan UNRWA terlibat dalam insiden 7 Okt 2023, satu tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh agensi PBB itu.
Ditubuhkan pada 1949, UNRWA menjadi talian hayat penting bagi pelarian Palestin dengan memberi bantuan kepada hampir 5.9 juta orang di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Syria dan Lubnan.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami