WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata beliau terlibat dalam rundingan untuk membuka semula Selat Hormuz dan membayangkan bahawa satu perjanjian mungkin dicapai "tidak lama lagi", lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ketika ditanya wartawan di Rumah Putih sama ada persetujuan telah dicapai untuk membuka semula laluan perairan strategik itu, Trump berkata: "Saya tidak mahu mengatakan bahawa ia telah dicapai."
"Ia sebenarnya sudah dibuka sekarang. Anda tahu, kami mempunyai sekatan yang diketuai Tentera Laut AS, dan kami mengawalnya," katanya.
"Mereka sentiasa boleh melepaskan tembakan. Mereka sentiasa mempunyai sesuatu, atau meletakkan periuk api. Jika terdapat satu periuk api di kawasan itu, keadaan boleh menjadi rumit kerana orang ramai tidak mahu kapal bernilai berbilion dolar mereka terkena periuk api secara tidak sengaja," katanya.
"Saya terlibat dalam rundingan itu. Saya fikir kami berada di landasan yang baik. Ia mungkin dicapai tidak lama lagi," katanya, merujuk kepada kemungkinan perjanjian dengan Iran.
Trump turut menolak kebimbangan mengenai stok ketenteraan AS dengan berkata negara itu mempunyai "bekalan peluru yang sangat besar".
"Kami mempunyai bekalan peluru di seluruh dunia, dan jika kami memerlukannya, kami akan menggunakannya. Kami mempunyai bekalan di seluruh dunia, dan keadaan kami berada pada tahap yang sangat baik," katanya.
Beliau berkata perang dengan Iran akan berakhir "tidak lama lagi", sambil menambah bahawa beliau tidak fikir Iran "mampu bertahan lebih lama".
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, AS dan Iran saling melancarkan serangan ketenteraan, dengan Washington menyasarkan apa yang didakwanya sebagai lokasi ketenteraan milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), manakala Tehran bertindak balas dengan menyerang kemudahan tentera AS di beberapa negara Teluk, khususnya Jordan, Bahrain dan Kuwait.
Peningkatan ketegangan itu berlaku walaupun Washington dan Tehran menandatangani memorandum persefahaman pada Jun serta memulakan rundingan ke arah perjanjian muktamad.
Rundingan itu bagaimanapun terhenti akibat perbezaan pendapat berhubung jaminan keselamatan dan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, yang merupakan antara laluan paling strategik bagi bekalan tenaga dan perdagangan global.
Minggu lalu, Trump mengancam untuk menyerang Iran "dengan sangat keras", termasuk menyasarkan kemudahan tenaga, jambatan dan loji jana kuasa.
Beliau kemudian berkata serangan itu dihentikan selepas Iran bersetuju untuk menyambung semula rundingan. Menurut beberapa media AS, kekurangan stok peluru pemintas turut menjadi antara faktor yang mendorong keputusan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU