ISTANBUL: Sebuah kapal tangki terkena projektil tidak diketahui ketika melalui Selat Hormuz pada Khamis, menyebabkan kebakaran di atas kapal itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO).
Organisasi itu memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada pihak ketiga mengenai kejadian berkenaan pada 1750 GMT.
Menurut UKMTO, anak kapal dilaporkan selamat, manakala tahap kerosakan pada kapal tangki itu serta sebarang kesan terhadap alam sekitar masih belum diketahui.
Terdahulu, agensi berita separa rasmi Iran, Fars yang memetik sumber tempatan melaporkan sebuah kapal tangki besar berkapasiti 2.5 juta tong terkena serangan kira-kira lapan kilometer dari pantai Oman dan terbakar.
Fars memaklumkan kapal itu belayar melalui "laluan yang tidak dibenarkan" di Selat Hormuz.
-- BERNAMA-ANADOLU