HONG KONG:Gelembung Perjalanan Udara (ATB) antara Singapura dan Hong Kong yang sepatutnya dilancarkan pada Ahad, ditangguhkan untuk tempoh dua minggu lagi.

Ia selepas Hong Kong mencatatkan jangkitan kes melebihi 100 dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat.

Pihak berkuasa kesihatan Hong Kong melaporkan 43 kes baru pada Sabtu, 13 daripadanya tidak dapat dikesan dan lebih 60 kes dilaporkan sebelum itu .

Di bawah perjanjian ATB, perjalanan itu akan ditangguhkan untuk tempoh dua minggu sekiranya jangkitan kes di kedua-dua bandar itu melebihi lima kes untuk tujuh hari berturut-turut.

Walaupun angka itu belum dicapai, namun pihak berkuasa menjangkakan situasi di Hong Kong akan bertambah buruk.

Dalam pada itu, Hong Kong megumumkan larangan aktiviti sosial seperti pesta, persembahan langsung, bar dan kelab malam selama lima hari bermula Ahad.

Individu yang didapati melanggar peraturan itu akan dikenakan denda maksimum AS$6,450 dan penjara enam bulan.

Menteri Kesihatan Hong Kong,  Sophia Chan turut memaklumkan rancangan untuk  memperketat peraturan lain, termasuk  syarat yang lebih ketat untuk menangguhkan penerbangan yang membawa penumpang yang dijangkiti.

Sehingga kini, Hong Kong mencatatkan 5,518 kes positif dengan 5,239 daripada sembuh dan 108 kematian akibat COVID-19.