DUNIA
Perjanjian penting mengenai Ukraine dicapai di Istanbul - Kremlin

Ditanya mengenai kemungkinan pertemuan tiga pihak antara Presiden Rusia, Amerika Syarikat dan Ukraine, Peskov (kanan) berkata pertemuan itu dijangka tidak akan berlaku dalam masa terdekat. - Gambar fail/REUTERS
MOSCOW: Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov pada Selasa berkata perjanjian yang dicapai antara Rusia dan Ukraine dalam rundingan di Istanbul pada Isnin adalah "penting", namun menjelaskan bahawa tiada kejayaan segera yang boleh dijangka untuk menamatkan konflik itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bercakap pada sidang media di Moscow, Peskov menekankan bahawa orang ramai tidak seharusnya mengharapkan penyelesaian segera atau kejayaan besar memandangkan kerumitan isu itu, namun usaha rundingan masih diteruskan.
"Ia penting kerana pada akhirnya ia membabitkan nyawa manusia. Perjanjian ini akan dilaksanakan dan kerja akan diteruskan," katanya.
Peskov berkata Rusia telah menyerahkan kepada Ukraine satu memorandum yang mengandungi visi Moscow mengenai penyelesaian konflik dengan banyak peruntukan termasuk beberapa pilihan."Sekali lagi, ingin saya tegaskan bahawa kami telah berulang kali menyatakan bahawa isu penyelesaian konflik ini amat kompleks dan melibatkan pelbagai perincian yang rumit," katanya.
"Semuanya menjurus ke arah menghapuskan punca awal konflik dan beralih ke landasan penyelesaian yang mampan."
Ketika ditanya mengenai kemungkinan pertemuan tiga pihak antara Presiden Rusia, Amerika Syarikat dan Ukraine, beliau berkata pertemuan itu dijangka tidak akan berlaku dalam masa terdekat.
"Presiden (Rusia) (Vladimir) Putin telah berulang kali menyatakan kesediaannya untuk mengadakan pertemuan peringkat tinggi, sambil menegaskan bahawa pertemuan itu seharusnya menjadi hasil kepada persetujuan yang dirundingkan di peringkat teknikal dan pakar.
"Presiden Putin menyokong idea pertemuan, tetapi percaya ia mesti dipersiapkan dengan teliti," katanya.
Istanbul menjadi tuan rumah bagi pusingan kedua rundingan Rusia-Ukraine pada Isnin, selepas pusingan pertama diadakan pada 16 Mei.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami