ALMATY: Perkampungan Etno Hun sebuah kompleks kebudayaan di Kazakhstan memberi peluang kepada pengunjungnya untuk menyaksikan dan merasai warisan dan gaya hidup bangsa Hun, satu kaum nomad yang pernah mendiami Asia Tengah suatu masa dahulu.

Selain daripada menjadi tarikan pelancongan, perkampungan itu yang terletak kira-kira 35 kilomter dari sini merupakan bukti kepada daya tahan dan kebijaksanaan warga Kazakh dalam mempertahankan warisan budaya mereka.

Perkampungan itu menawarkan pengunjung menikmati suasana pergunungan sambil menghirup udara segar, menunggang kuda dan merasai cabaran pengembaraan.

Sebaik sahaja memasuki perkampungan itu, pengunjung disambut dengan teh hitam yang dihidangkan dalam cawan tidak bertangkai bersama susu kuda ditapaikan, dikenali sebagai "kumis" di Kazakhstan dan "baursak" (sama seperti donut) yang baharu digoreng panas-panas.

Di bawah kanopi pula, kelihatan seorang nenek berpakaian jubah tradisional dan cucu lelakinya menyanyikan lagu rakyat dengan bersemangat sambil memainkan alat muzik tradisional "dombyra" yang berbentuk seperti buah pear dan mempunyai leher yang tirus dan panjang dengan dua tali.

Penyelidik di Kazakh telah menemukan ukiran di batu yang menunjukkan sebuah "dombyra" dan orang menari yang berusia kira-kira 4,000 tahun.

Lawatan yang dipimpin oleh pemandu pelancong berpengalaman memberikan peluang pelawat untuk mempelajari sejarah dan tradisi kaum Hun.

Timbalan Pengarah Skyway Travel Islam A. Moustafa berkata menerusi pengalaman mengasyikkan, perkampungan ini memupuk penghargaan yang tinggi kepada warisan Kazakh dan menggalakkan pemahaman rentas budaya.

"Di sini kita boleh menyaksikan dan merasai aspek kebudayaan Kazakh yang berbeza, termasuk penyediaan makanan tradisional, permainan purba, membina yurt (khemah) dan di kelilingi banjaran gunung yang indah," katanya kepada media ketika lawatan ke perkampungan itu baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Pelancongan Perkampungan Etno Hun Moldakanova Aigerim menekankan untuk memelihara aspek ketara budaya Hun, perkampungan itu juga meraikan warisan tak ketara menerusi muzik, tarian dan penyampaian cerita.

Beliau berkata pada tahun lepas perkampungan itu dilawati lebih 16,000 pelancong dan dijangka melebihi 20,000 tahun ini.

"Kebanyakan daripada mereka adalah dari Arab, Arab Selatan, India, China, Rusia dan Eropah selain daripada Filipina, Thai, Malaysia dan ramai lagi," katanya.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi kesenian "felt", sejenis fabrik yang tebal dan kukuh diperbuat daripada bulu biri-biri dan meneliti reka bentuk yurt yang kompleks dan merasai sendiri permainan tradisional dengan menunggang kuda.

Dengan ketekunan usaha mereka, bangsa Kazakh memelihara dan mempamerkan tradisi dan budaya mereka dan menjaganya daripada luput ditelan zaman.

Komitmen mereka memastikan warna-warni kekayaan warisan mereka kekal bertenaga menjadi panduan kepada identiti dan kesinambungan generasi akan datang.

-- BERNAMA