DUNIA
Perkhidmatan tren malam Paris-Berlin dan Paris-Vienna akan dihentikan kerana pemotongan subsidi

Laporan media Perancis menyatakan, subsidi tahunan yang diberi berjumlah jutaan euro, namun perkhidmatan tren malam ini tidak menguntungkan walaupun mempunyai permintaan tinggi. - Gambar hiasan
PARIS: Perkhidmatan tren malam antara Paris dan Berlin akan dihentikan pada Disember ini selepas hanya dua tahun beroperasi, meskipun menerima permintaan tinggi daripada penumpang.
Menurut Syarikat Kereta Api Persekutuan Austria (OBB) yang mengendalikan perkhidmatan itu, keputusan dibuat susulan pemotongan subsidi Kerajaan Perancis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perkhidmatan tren malam antara Paris dan Vienna juga akan turut dihentikan.
Langkah ini menamatkan satu-satunya perkhidmatan tren malam antara beberapa ibu kota utama Eropah, memandangkan tiada penyedia lain yang mengendalikan laluan serupa.Bagaimanapun, perkhidmatan tren laju siang antara Paris dan Berlin telah diperkenalkan pada Disember 2024.
Namun, OBB menegaskan yang operasi tren malam hanya boleh dijalankan dengan kerjasama antarabangsa dan mereka kesal kerana hubungan ini tidak dapat diteruskan akibat penarikan subsidi oleh Kerajaan Perancis.
Laporan media Perancis menyatakan yang subsidi tahunan yang diberikan berjumlah jutaan euro, namun perkhidmatan ini tidak menguntungkan walaupun mempunyai permintaan tinggi.
Antara sebab utama ialah tren malam tidak digunakan pada waktu siang, tidak seperti tren jarak jauh biasa yang boleh beroperasi beberapa kali sehari pada laluan sama.
Ahli Parlimen Perancis Brigitte Klinkert, menyifatkan keputusan ini sebagai "tidak boleh diterima", apatah lagi jumlah penumpang yang tinggi menunjukkan minat yang besar terhadap sambungan rel antara kedua-dua negara.
"Perkhidmatan ini adalah pengangkutan mesra iklim dan efisien yang menarik ramai penumpang, serta menjadi simbol kerjasama kuat dan persahabatan antara Perancis dan Jerman," kata Klinkert yang juga Pengerusi Bersama Perhimpunan Parlimen Perancis-Jerman.
--BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami