DUNIA
Persidangan antidoping global berakhir di Busan dengan kod baharu, deklarasi diperkukuh
Lembaga Yayasan WADA meluluskan Kod Antidoping Dunia baharu, manakala Jawatankuasa Eksekutifnya meluluskan piawaian antarabangsa yang mengiringi kod berkenaan. - Gambar hiasan Reuters
BUSAN: Edisi keenam Persidangan Dunia mengenai Doping dalam Sukan berakhir pada Jumaat di bandar Busan di tenggara Korea Selatan, dengan pemuktamadan edisi baharu kod antidoping global, lapor Agensi Berita Yonhap.
Agensi Antidoping Dunia (WADA) mengadakan perhimpunan antarabangsa terbesar itu di Asia buat kali pertama selepas sebelum ini menganjurkannya di Switzerland, Denmark, Sepanyol, Afrika Selatan dan Poland.
Pada hari terakhir persidangan, Lembaga Yayasan WADA meluluskan Kod Antidoping Dunia baharu, manakala Jawatankuasa Eksekutifnya meluluskan piawaian antarabangsa yang mengiringi kod berkenaan.
Dokumen itu akan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2027 dan kekal sehingga 2033.
Presiden WADA, Witold Banka berkata, kod dan piawaian yang disemak itu mengutamakan hak asasi atlet, khususnya atlet bawah umur dan golongan yang dilindungi.
"Ia juga meningkatkan tanggungjawab ahli pengiring atlet serta organisasi antidoping.
"Dalam aspek lain, peraturan turut menjadi lebih fleksibel untuk memastikan ia dapat dikuatkuasakan secara tegas dan adil. Kod ini tidak pernah bertujuan kekal statik. Ini adalah semakan kali keempat, dan ia akan terus berkembang serta menyesuaikan diri dengan dunia moden. Peraturan ini adil, tegas dan bertujuan menjamin persaingan yang adil bagi semua atlet," katanya.
Selepas kelulusan dokumen berkenaan, "Deklarasi Busan" turut diterima pakai pada penutup persidangan itu.
Menurut WADA, dokumen tersebut menyeru semua pihak berkepentingan untuk mengambil langkah berikut: memperkukuh pendidikan, pencegahan, pengesanan, siasatan dan tindakan penguatkuasaan antidoping; meningkatkan sumber untuk melindungi sukan bersih; memperkuat kolaborasi dan kerjasama; serta bersatu mencapai matlamat bersama untuk terus membina kepercayaan terhadap sistem antidoping dan membasmi doping demi manfaat atlet serta integriti sukan.
Persidangan itu menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta dari 191 negara dan dihadiri pemimpin sukan global termasuk Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Kirsty Coventry dan ketua badan sukan dunia seperti badminton, gusti dan pingpong.
-- BERNAMA