DUNIA
Pertamina Indonesia rancang laluan alternatif jika Selat Hormuz ditutup

Semua kapal syarikat Pertamina akan menggunakan laluan alternatif yang menjamin keselamatan kapal dan anak kapal. - Reuters
JAKARTA: Syarikat minyak dan gas milik Indonesia, PT Pertamina akan menukar laluan pengangkutan minyaknya kepada laluan pelayaran yang lebih selamat, seperti melalui Oman atau India, sekiranya Selat Hormuz ditutup, kata seorang jurucakap pada Isnin.
Fadjar Djoko Santoso, Naib Presiden Komunikasi Korporat PT Pertamina berkata semua kapal syarikat itu akan menggunakan laluan alternatif yang menjamin keselamatan kapal dan anak kapal, lapor Xinhua.
Fadjar membuat kenyataan itu selepas Parlimen Iran memberi kelulusan untuk kemungkinan penutupan Selat Hormuz kepada aktiviti pelayaran, sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklear Iran.
"Pertamina mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan keselamatan kapal kami dan mengalihkan laluan ke laluan selamat melalui Oman dan India," katanya kepada wartawan.Jurucakap itu berkata bekalan minyak mentah domestik untuk pengeluaran masih mencukupi dan terjamin.
"Secara keseluruhan, bekalan minyak mentah kami masih terkawal," katanya.
--BERNAMA-XINHUA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami