ROM: Protes berhubung peningkatan kos sara hidup bertukar ganas pada Sabtu di beberapa bandar di utara Itali, termasuk Milan, Bologna dan Turin, menyebabkan puluhan orang cedera, menurut laporan media Itali, lapor Xinhua.
Di Milan, ratusan anak muda berpakaian hitam berkumpul di Piazza del Duomo di pusat bandar raya itu dan membaling mercun serta botol ke arah polis.
Sekurang-kurangnya empat anggota polis dan 20 penunjuk perasaan cedera dalam pertempuran itu, manakala kira-kira 50 penunjuk perasaan ditahan, menurut laporan agensi berita Itali, ANSA.
Di Bologna, polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.
Empat individu bawah umur ditangkap, manakala 36 anggota penguat kuasa undang-undang cedera atau mengalami lebam dalam pertempuran itu, lapor ANSA yang memetik maklumat terkini polis.
Di Turin, polis menahan 12 orang, termasuk 10 individu bawah umur, susulan pertempuran dengan penunjuk perasaan, menurut laporan media tempatan.
Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni mengecam keganasan itu menerusi hantaran di media sosial pada Sabtu malam dengan berkata: "Mengadakan demonstrasi adalah hak, tetapi membakar bandar-bandar kita bukanlah satu hak."
-- BERNAMA-XINHUA