MAKASSAR: Pemerhati kanak-kanak di Makassar, Sulawesi Selatan, Dr Hadawiah Hatita, berkata bahawa perubahan iklim boleh menjejaskan hak asasi, sosial dan budaya kanak-kanak.

"Pemanasan global, yang merupakan sebahagian daripada perubahan iklim, berpotensi menjejaskan hak asasi kanak-kanak, termasuk hak sosial dan budaya mereka," kata Hatita di sini pada Ahad, lapor agensi berita ANTARA.

Beliau berkata perubahan iklim telah menjejaskan keperluan asas, serta gaya hidup sosial dan budaya mereka.

Sebagai contoh kanak-kanak biasanya berjalan kaki ke sekolah namun, akibat cuaca panas melampau, kanak-kanak kini lebih gemar memilih perkhidmatan teksi dan motosikal berasaskan dalam talian, katanya.

Sementara itu, kanak-kanak di kawasan luar bandar atau pantai berkemungkinan lebih terjejas akibat cuaca ekstrem dan bencana ekologi, seperti banjir dan tanah runtuh yang disebabkan oleh pemanasan global.

"Akibat bencana alam ini, aktiviti sekolah kanak-kanak terganggu, sehingga peluang pendidikan tidak dapat dipenuhi dengan baik," jelas pengarah eksekutif Institut Pendidikan dan Penerangan Media Awam (LaPISmedik) itu.

Selain itu, perubahan iklim menyebabkan perubahan drastik dalam kehidupan sosial dan budaya kanak-kanak.

Kanak-kanak yang biasanya bermain di luar lebih cenderung bermain di dalam rumah kerana kesan pemanasan global dan perkembangan teknologi komunikasi.

Menurut Hatita, keadaan ini secara beransur-ansur memberi beberapa kesan terhadap sosiobudaya kanak-kanak, kerana mereka kurang berinteraksi dengan rakan atau orang lain di luar rumah.

--BERNAMA-ANTARA