BOGOTA: Perubahan iklim dan fenomena El Nino dikenal pasti sebagai punca utama kebakaran hutan terburuk dalam sejarah bencana alam di Chile yang meragut nyawa 131 orang.

Para saintis memaklumkan suhu yang terlampau tinggi merupakan faktor utama kejadian selain angin kencang yang menyebabkan kebakaran hutan merebak begitu cepat.

Pakar Klimatologi, Raul Cordero di Universiti Santiago mengatakan angin musim panas yang kuat adalah lazim di tengah Chile, tetapi suhu di negara itu kini lebih tinggi berbanding beberapa dekad lalu.

Kawasan itu juga sedang mengalami fenomena El Nino, di mana suhu air yang luar biasa tinggi di pantai Pasifik Amerika Selatan, mengganggu corak cuaca global, sekali gus menyumbang kepada suhu yang lebih panas.