SEKUMPULAN penyelidik dari University of Cambridge mendedahkan, perubahan iklim mungkin mendorong kepada kemunculan COVID-19.

Kajian yang diterbitkan melalui jurnal sains Science of the Total Environment itu turut menyatakan berlaku perubahan besar terhadap tumbuh-tumbuhan di wilayah Yunnan, China serta wilayah di Myanmar dan Laos sejak berabad lalu.

Menurut salah seorang penyelidik yang juga penulis pertama jurnal itu, Dr Robert Beyer, perubahan iklim itu termasuk peningkatan suhu dan pelepasan karbon dioksida yang mengubah habitat semula jadi serta  membantu mewujudkan persekitaran yang mampan bagi spesies kelawar yang kebanyakannya tinggal di hutan.

"Perubahan iklim sejak berabad lalu telah menyebabkan habitat semula jadi di wilayah Yunnan adalah sesuai sebagai tempat tinggal lebih banyak spesis kelawar,"jelasnya.

Kumpulan penyelidik juga mendedahkan, bilangan koronavirus di sesuatu kawasan itu berkait rapat dengan jumlah spesies kelawar yang berlainan.

Malah, terdapat pertambahan 40 spesis kelawar telah bermigrasi ke wilayah Yunnan sejak berabad lalu.

Ia menjadikan lebih 100 jenis kelawar yang membawa koronavirus di wilayah itu.

BACA: Selesai kuarantin, pakar WHO mulakan siasatan asal-usul COVID-19 di Wuhan

BACA: Pasukan WHO tiba di Wuhan untuk tinjau kemudahan kesihatan haiwan

'Hotspot global' itu merupakan lokasi di mana data genetik menunjukkan bahawa SARS-CoV-2 mungkin mula  dikesan.

Kajian juga menekankan keperluan mengehadkan aktiviti yang menjejaskan habitat semula jadi haiwan yang membawa risiko penyakit berjangkit terutama di tanah pertanian dan sesetengah lokasi di kawasan bandar.

"Memahami bagaimana perubahan dalam penyebaran spesies kelawar kesan perubahan iklim mungkin merupakan langkah penting dalam menilai semula asal usul wabak COVID-19," katanya lagi.