WUHAN:Satu pasukan penyiasat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tiba di kemudahan kesihatan haiwan di bandar Wuhan, China pada Selasa dalam usaha mencari petunjuk berkenaan punca pandemik COVID-19

Reuters melaporkan, pasukan bebas itu telahpun melawat beberapa hospital utama, pusat kawalan penyakit dan pasar makanan laut Huanan, iaitu lokasi kluster pertama jangkitan dipercayai bermula pada penghujung tahun 2019.

Lawatan itu disifatkan berjalan lancar, kata salah seorang daripada ahli pasukan, Peter Daszak, iaitu Presiden EcoHealth Alliance.

Pusat yang berperanan mencari jawapan kepada penyakit-penyakit epidemik bawaan haiwan dan terletak di wilayah Hubei itu dipercayai boleh memberi maklumat tentang endemik virus korona bawaan sejenis kelawar dari barat daya China, yang berkemungkinan menjangkiti manusia menerusi satu lagi spesies perantara.

 Pasukan penyiasat daripada WHO yang beriltizam mencari jawapan kepada pandemik COVID-19 dilihat di hotel penginapan mereka di Wuhan. - Reuters

Peter Ben Embarek, yang merupakan pakar penyakit zoonotik (berkaitan haiwan), adalah antara yang turut menjalankan tugas di pusat berkenaan, dilihat lengkap dengan persalinan pelindung diri.

Pada Isnin, pegawai tertinggi hal ehwal darurat, Mike Ryan, berkata siasatan itu mungkin tidak dapat menjawab semua persoalan tentang asal-usul COVID-19. Jelasnya, kedatangan mereka ibarat 'cerita detektif' yang menemui banyak persoalan baharu.

Ryan juga mengkritik pihak yang tidak mahu menerima malah menolak segala laporan penemuan pasukan penyiasat dalam lawatan itu.

"Semua usaha ini memerlukan sokongan daripada komuniti antarabangsa dan ia perlu diberi peluang agar tugasan ini dapat diselesaikan," ujarnya.