Pesawat Air Canada penerbangan 624 mendarat cemas di landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Halifax Stanfield di Kanada.

Pesawat itu dilapor terlanggar talian elektrik dan mengalami kerosakan teruk sejurus mendarat, lapor rt.com.

Syarikat penerbangan Air Canada melalui akaun Twitternya mengesahkan kejadian.


Dilaporkan pesawat yang membawa 135 penumpang dan lima kru itu hilang sebelah sayapnya sejurus mendarat, dipercayai akibat terlanggar kabel elektrik.


Kesemua penumpang terselamat, namun ada yang dilaporkan cedera ringan.


Suasana di lapangan terbang gelap gelita akibat kejadian. Namun ada laporan mengatakan bekalan elektrik telah kembali pulih seketika kemudian.


Pasukan keselamatan telah dikejarkan ke lokasi untuk tugas menyelamat.


Seramai 22 penumpang yang cedera dibawa ke hospital, manakala bakinya ditempatkan di sebuah hotel berhampiran.

Selain patah sayap, pesawat malang itu turut mengalami kerosakan di beberapa bahagian lain termasuk gear mendarat dan fiuslajnya.