DUNIA
Pesawat Lion Air yang terhempas masih baharu, mula beroperasi Ogos 2018

Menurut jurucakap Komunikasi Stategik Korporat Lion Air Danang Mandala Prihantoro, pesawat itu direkodkan dalam keadaan baik sebelum berlepas.
Pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Karawang adalah sebuah pesawat baharu yang mula melakukan operasi penerbangan pada 15 Ogos 2018.
Berdasarkan kenyataan daripada Lion Air, pesawat itu membawa 178 penumpang dewasa, seorang kanak-kanak dan dua bayi.
Pesawat dikendalikan Kapten Bhavye Suneja dan pembantu juruterbang Harvino, bersama enam anak kapal iaitu Shintia Melina, Citra Noivita Anggelia, Alviani Hidayatul Solikha, Damayanti Simarmata, Mery Yulianda, dan Deny Maula.
BACA LAPOR LANGSUNG: Nahas pesawat Lion Air
Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada jam 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia).
"Juruterbang sudah memiliki jam penerbangan lebih dari 6,000 jam terbang, dan pembantu juruterbang mempunyai lebih dari 5,000 jam penerbangan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Lion Air telah membuka pusat operasi berhubung nahas itu dan anggota keluarga boleh menghubungi pusat berkenan di talian (+62) 021-80820000 atau (+62) 021-80820002 untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Setakat ini tiada makluman rasmi berkenaan jumlah korban, namun dikhuatiri semua penumpang dan anak kapal terkorban dalam kejadian itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami