Pihak berkuasa Aceh hapuskan 18.5 hektar tanaman kelapa sawit haram

Langkah itu disifatkan perlu bagi menguatkuasakan peraturan penggunaan tanah serta menyokong program perhutanan komuniti. - Gambar hiasan
BANDA ACEH: Pihak berkuasa di Aceh telah memusnahkan 18.5 hektar tanaman kelapa sawit haram dalam kawasan hutan simpan di Daerah Kecil Babahrot, Daerah Barat Daya Aceh, langkah yang disifatkan perlu bagi menguatkuasakan peraturan penggunaan tanah serta menyokong program perhutanan komuniti, menurut pegawai pada Sabtu, lapor agensi berita ANTARA.
Syukramizar, pemangku ketua bahagian bimbingan teknikal dan perlindungan hutan di Unit Pengurusan Hutan (KPH) Wilayah 9, berkata, penanaman sawit itu melanggar peraturan Kementerian Alam Sekitar tahun 2021 yang melarang penanaman kelapa sawit dalam kawasan perhutanan sosial.
Tindakan pembersihan itu susulan laporan daripada kumpulan hutan komuniti yang memohon permit perhutanan sosial dan mendapati tanaman haram itu berada dalam kawasan permohonan mereka.
Sebuah pasukan khas terdiri daripada 20 anggota, termasuk renjer hutan, pegawai penyiasat awam, pegawai KPHL (Unit Pengurusan Hutan Lindung) 12, anggota tentera dan polis, digerakkan untuk mengenal pasti serta menebang pokok berkenaan.
Kawasan tanaman haram itu terbentang dari Kilometer 18 hingga Kilometer 25 di sepanjang jalan yang menghubungkan Barat Daya Aceh dan Gayo Lues.
Syukramizar berkata, operasi berjalan lancar dan melibatkan tanah yang dituntut di bawah permohonan tiga kumpulan hutan komuniti iaitu Sejahtera Bersama, Tuah Nanggroe dan Tuah Seudong Rimba.
Kumpulan berkenaan menjalani penentusahan teknikal pada Ogos 2025 oleh Agensi Perhutanan Sosial, Agensi Penyatuan Kawasan Hutan serta Pejabat Alam Sekitar dan Perhutanan Aceh.
Beliau berkata, pihak berkuasa telah menjalankan program libat urus dan memberi amaran kepada penduduk sebelum operasi, menggesa mereka yang bertanggungjawab supaya menebang sendiri tanaman terbabit. Namun perluasan haram itu berterusan, sekali gus memaksa tindakan penguatkuasaan bersama.
Syukramizar menyeru penduduk supaya melindungi hutan dan menghindari kegiatan haram seperti pencerobohan, pembalakan dan penanaman komoditi bukan hutan.
Beliau berkata, sesiapa yang ingin menanam kelapa sawit perlu melakukannya di luar kawasan hutan, manakala kawasan hutan sepatutnya digunakan untuk tanaman berbilang guna seperti durian, avokado, petai dan jering.
Kerajaan Indonesia kini mengambil langkah tegas terhadap ladang kelapa sawit haram.
Dalam dialog bersama Steve Forbes di Persidangan CEO Global Forbes 2025 di Jakarta pada 15 Okt, Presiden Prabowo Subianto berkata beliau telah mengarahkan tentera membantu pihak pendakwaan merampas dua ladang haram berjumlah 100,000 hektar, seperti yang diperintahkan oleh keputusan Mahkamah Agung 18 tahun lepas.
Beliau menambah bahawa kerajaan kini telah mengambil alih dianggarkan 3.7 juta hektar ladang sawit haram di seluruh Indonesia.
--BERNAMA-ANTARA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


