DUNIA
Pihak berkuasa Gaza: Israel palsukan rakaman pembunuhan beramai-ramai dekat pusat bantuan Rafah

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan 158 lagi cedera di pusat bantuan Rafah dalam serangan yang dilakukan oleh Israel. - Gambar fail/AP
MOSCOW: Pihak berkuasa Semenanjung Gaza menolak kenyataan Israel berhubung insiden berhampiran pusat agihan bantuan kemanusiaan di Rafah yang mengorbankan puluhan nyawa, dengan menyatakan ia bukan akibat pertempuran, sebaliknya serangan yang disengajakan tentera Israel terhadap orang awam Palestin.
Menurut laporan Sputnik/RIA Novosti pada Ahad, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan 158 lagi cedera di pusat bantuan Rafah dalam serangan yang dilakukan oleh Israel.
"Pendudukan Israel menyiarkan video palsu yang mengelirukan untuk menutup jenayah kejamnya yang mengorbankan 31 orang awam dan mencederakan 200 yang lain di hadapan pusat agihan bantuan kemanusiaan Israel-Amerika di Rafah," kata pentadbiran Gaza di Telegram, sambil menegaskan bahawa video itu disiarkan lebih 15 jam selepas kejadian dan bercanggah dengan keterangan saksi serta data di lapangan.
Pihak berkuasa Gaza menegaskan, tiada pertempuran bersenjata berlaku di kawasan itu dan ia sepenuhnya berada di bawah kawalan tentera Israel ketika kejadian."Apa yang berlaku adalah jelas: pesawat Israel di udara menembak orang yang kelaparan... Video itu adalah sebahagian daripada kempen maklumat yang dirancang rapi untuk memutarbelitkan kejadian sebenar," menurut kenyataan itu.
Pada 19 Mei, wartawan Axios, Barak Ravid melaporkan dengan memetik pegawai kanan Israel bahawa Kabinet Keselamatan Israel telah memutuskan untuk segera menyambung semula penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui saluran sedia ada.
Menurut laporan Financial Times, menerusi rancangan yang dicadangkan Israel, Gaza Humanitarian Fund (GHF) akan menyalurkan bantuan kemanusiaan ke beberapa lokasi di selatan Semenanjung Gaza yang dikawal oleh tentera Israel.
Pada 20 Mei, Ketua Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata penyambungan semula penghantaran bantuan oleh Israel ke Gaza bertujuan untuk memaksa pemindahan penduduk Palestin.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami