SONGKHLA: Pihak berkuasa Thailand merampas 300 kotak bunga api yang dipercayai mahu diseludup ke Malaysia di Sadao, Songkhla.

Ketua Pegawai Daerah Sadao Surin Suriyawong berkata dalam satu operasi bersepadu polis, tentera dan kerajaan tempatan telah memeriksa sebuah treler dengan plat Malaysia yang mencurigakan di depan sebuah rumah di Sadao kira-kira 1.30 pagi (waktu tempatan) pada Ahad.

"Pemeriksaan mendapati kotak-kotak yang mengandungi bunga api disembunyi di bawah guni-guni baja dan sabut kelapa. Dianggarkan 300 kotak bunga api itu bernilai ratusan ribu baht dan akan diseludup ke Malaysia," katanya.

Beliau menambah tiada suspek ditahan setakat ini.

Surin berkata anak lelaki kepada pemilik rumah memberitahu polis bahawa tanah lapang di depan rumah telah disewa kepada syarikat logistik yang menggunakan Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.

"Polis akan memanggil pemilik syarikat logistik untuk memberi keterangan," katanya.

-- BERNAMA