BANGKOK: Satu ugutan bom palsu yang menyebabkan kelewatan selama empat jam terhadap penerbangan Thai AirAsia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi pada Ahad mendorong pihak berkuasa Thailand mengambil langkah keselamatan segera selain mengesahkan akan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap pelaku, lapor Xinhua.
Insiden itu berlaku kira-kira 4.47 petang waktu tempatan di dalam penerbangan Thai AirAsia AIQ 4401, sebuah Airbus A320 yang dijadual menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok. Ketika pesawat sedang berundur dari petak parkir, seorang penumpang membuat kenyataan mengenai bahan letupan dalam bagasi kabin.
Advertisement
Menurut pramugari, ketika beliau membantu penumpang itu meletakkan beg di ruang simpanan atas, penumpang berkenaan berkata, “Letakkan beg itu dengan berhati-hati. Awas ada bom” dan mengulangi kenyataan itu apabila diminta penjelasan.
Kru kabin melaporkan kenyataan itu kepada juruterbang, yang segera menghentikan prosedur berlepas dan membawa pesawat kembali ke pintu pelepasan. Walaupun penumpang itu kemudian mengakui kenyataan tersebut sebagai “gurauan”, prosedur keselamatan standard tetap diaktifkan tanpa berlengah. Semua penumpang dipindahkan keluar dan semua bagasi diturunkan.
Pesawat itu kemudian dipindahkan ke kawasan terpencil yang dikhaskan untuk kecemasan bagi membolehkan pasukan keselamatan menjalankan pemeriksaan menyeluruh jauh dari terminal utama. Jabatan Lapangan Terbang mengesahkan operasi lapangan terbang berjalan seperti biasa, dengan penerbangan lain tiba dan berlepas mengikut jadual.
Menjelang 8 malam, pihak keselamatan menamatkan pemeriksaan dan tidak menemui sebarang bahan letupan atau objek mencurigakan. Pesawat akhirnya berlepas pada 9 malam, menyebabkan kelewatan kira-kira 4 jam 15 minit.
Pihak berkuasa segera menahan individu yang bertanggungjawab selepas insiden itu.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Phattrapong Phattraprasit, mengarahkan siasatan susulan menyeluruh, sambil menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang mencetuskan panik awam, tanpa mengira niat, akan didakwa sepenuhnya mengikut undang-undang.
Insiden ini bukan kes terpencil dalam sektor penerbangan Thailand. Pada September 2025, satu penerbangan IndiGo dari Mumbai ke Phuket terpaksa dilencongkan susulan ancaman bom palsu.
-- BERNAMA-XINHUA