Pilihan raya Tanzania: Samia Suluhu menang besar ketika ratusan maut dalam rusuhan berdarah

Samia Suluhu Hassan (foto) menang besar dalam pilihan raya Tanzania, di tengah bantahan dan rusuhan. -Gambar fail/Facebook Luckson F Mvula
DAR ES SALAAM: Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan, menang pilihan raya umum negara itu dengan 97.66 peratus undi.
Ringkasan AI
- Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan menang besar dalam pilihan raya dengan 97.66 peratus undi, namun pencabar utama dihalang bertanding dan rusuhan tercetus.
- Rusuhan di seluruh negara menyebabkan ratusan kematian menurut pembangkang, walaupun kerajaan menafikan angka tersebut dan menyifatkan insiden sebagai terpencil.
- Pemerhati antarabangsa gesa siasatan bebas terhadap dakwaan pencabulan hak asasi dan kekerasan pasukan keselamatan, sementara negara dikenakan perintah berkurung dan sekatan media.
Pilihan raya itu dibayangi kontroversi apabila dua pencabar utama Samia — Tundu Lissu dari parti pembangkang Chadema yang kini dipenjara atas tuduhan penderhakaan, dan Luhaga Mpina dari ACT-Wazalendo — masing-masing dihalang daripada bertanding atas alasan teknikal.
Rusuhan tercetus di seluruh negara termasuk di Dar es Salaam, Arusha dan Zanzibar, apabila ribuan penunjuk perasaan membantah keputusan pilihan raya yang disifatkan sebagai tidak adil.
Mereka turut menuduh kerajaan menyekat demokrasi dan menyalah guna kuasa keselamatan untuk menindas pembangkang.
Menurut jurucakap Chadema, John Kitoka, lebih 700 orang terbunuh dalam tempoh tiga hari selepas pengundian, berdasarkan maklumat daripada rangkaian petugas kesihatan dan hospital.
Bagaimanapun, kerajaan menafikan angka tersebut dan menyifatkan rusuhan sebagai insiden terpencil.
Sementara itu, Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya 10 kematian yang disahkan di Dar es Salaam, Shinyanga dan Morogoro.
Amnesty International pula menyatakan mereka menerima maklumat mengenai sekurang-kurangnya 100 kematian.
Kerajaan Tanzania telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara dan menyekat akses internet sejak hari pengundian.
Wartawan asing turut dihalang daripada membuat liputan, manakala media tempatan tidak dikemas kini sejak Rabu lalu.
Presiden Samia, yang menjadi presiden wanita pertama Tanzania pada 2021 selepas kematian mendadak Presiden John Magufuli, belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung rusuhan tersebut.
Beliau dijangka mengangkat sumpah bagi penggal kedua dalam suasana politik yang tegang dan penuh cabaran.
Pemerhati antarabangsa dan kumpulan hak asasi menyeru siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan terhadap dakwaan penggunaan kekerasan berlebihan oleh pasukan keselamatan serta pencabulan hak asasi manusia menjelang dan selepas pilihan raya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


