INTERNATIONAL
Pilihan Raya Umum Albania bermula, lebih 3.7 juta pengundi berdaftar

Proses pengundian berlangsung dari 7 pagi hingga 7 malam waktu tempatan di 5,225 pusat mengundi. - REUTERS
TIRANA (Albania): Lebih 3.7 juta pengundi berdaftar di Albania mula keluar mengundi pada Ahad (11 Mei) dalam pilihan raya umum ke-11 negara itu sejak kejatuhan rejim komunis pada 1991, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Seramai kira-kira 3.71 juta pengundi layak memilih ahli parlimen bagi 140 kerusi Parlimen, melibatkan penyertaan 53 parti politik dan tiga gabungan prapilihan raya.
Proses pengundian berlangsung dari 7 pagi hingga 7 malam waktu tempatan di 5,225 pusat mengundi.
Buat pertama kali, hampir 246,000 rakyat Albania yang berdaftar di luar negara turut dibenarkan mengundi sama ada melalui e-mel atau pos, dengan proses itu turut ditutup pada 7 malam waktu tempatan Ahad.Mengikut undang-undang pilihan raya Albania, sesebuah parti perlu memperoleh sekurang-kurangnya satu peratus undi nasional untuk memasuki Parlimen.
Dalam tinjauan pendapat, Parti Sosialis pimpinan Perdana Menteri Edi Rama mendahului, manakala parti pembangkang utama, Parti Demokrat yang diketuai bekas Perdana Menteri Sali Berisha turut dilihat sebagai pencabar utama.
Blok Berisha, iaitu Perikatan Albania Raya, merangkumi 25 parti sekutu.
Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) akan menghantar kira-kira 100 pemerhati bagi memantau pilihan raya itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami