ISTANBUL: Pilihan raya umum yang berlangsung di Kemboja pada Julai lalu disifatkan "bebas dan adil", kata Perdana Menteri yang baru dilantik Hun Manet dalam ucapan sulungnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Proses pembinaan demokrasi kami telah maju secara berterusan," kata Hun pada Sesi ke-78 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu (AA).

Beliau berkata sebanyak 18 parti bertanding dalam pilihan raya itu yang menyaksikan lebih 8.2 juta telah menunaikan tanggungjawab masing-masing, dengan kadar keluar mengundi sebanyak 84.59 peratus.

"Peratusan itu tertinggi sejak pilihan raya yang diselia PBB pada 1993, memberikan petunjuk jelas bahawa rakyat sudah semakin matang dalam melaksanakan hak demokrasi mereka," katanya.

Beliau berkata proses pilihan raya itu turut disaksikan oleh ribuan pemerhati, termasuk 333 dari luar negara.

Hun menggantikan bapanya Hun Sen yang telah memerintah selama 38 tahun di negara Asia Tenggara itu yang majoriti penduduknya beragama Buddha.

Menjelang pilihan raya itu, mahkamah tertinggi Kemboja telah melarang parti pembangkang utama Parti Candle Light daripada bertanding.

Hun yang bertanding atas tiket Parti Rakyat Kemboja memenangi 120 kerusi Parlimen yang mempunyai 125 kerusi.

-- BERNAMA