Kumpulan pejuang pembebasan Palestin menyeru agar 'Hari Kemarahan' dilancarkan pada Rabu berikutan kemungkinan Amerika Syarikat (AS) mengambil langkah mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Antara yang berkumpul mengadakan mesyuarat pada Selasa termasuk kumpulan pejuang Hamas di Gaza.

Mereka menyeru agar demonstrasi diadakan di negara Arab dan kota utama negara Islam sebagai tanda protes terhadap keputusan AS, termasuk hasrat Presiden Donald Trump memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis.

Menurut Ketua Barisan Demokratik Pembebasan Palestin Talal Abu Zarefa, negara Islam sepatutnya memainkan peranan dalam isu ini.



"Kita mesti menguatkan gerakan popular yang menolak dasar ini dan perlu menyatakan perpaduan rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, 48 wilayah dan kem pelarian.

"Ia bagi menekankan bahawa Baitulmuqaddis adalah garis merah dan ia adalah ibu kota negara Palestin, dan kita tidak boleh menerima apa-apa cara yang membahayakan Baitulmaqdis," katanya.

Trump dilaporkan memberitahu Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Selasa, beliau berhasrat memindahkan Kedutaan AS di Israel ke Baitulmaqdis, menyalahi polisi AS selama beberapa dekad yang menyatakan status bandar itu mesti diputuskan dalam perundingan dengan rakyat Palestin.