Pintu Rafah dibuka selepas operasi cari mayat tebusan terakhir selesai - Israel

Netanyahu berkata pembukaan Rafah bergantung kepada pemulangan semua tebusan yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia. - Foto fail/REUTERS
TEL AVIV: Israel akan membuka semula pintu sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir hanya selepas operasi mencari mayat tebusan Israel terakhir di Gaza selesai, menurut pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Dalam kenyataan pada Ahad, pejabat Netanyahu berkata pembukaan Rafah bergantung kepada pemulangan semua tebusan yang masih hidup serta usaha penuh Hamas untuk mencari dan menyerahkan semua tebusan yang telah meninggal dunia.
Hamas sebelum itu berkata ia telah menyerahkan lokasi mayat askar Israel, Ran Gvili, tebusan terakhir di Gaza, selaras dengan fasa kedua gencatan senjata.
Jurucakap Briged al-Qassam, Abu Obeida, menegaskan Hamas telah memenuhi semua kewajipannya dan menggesa pihak pengantara memastikan Israel mematuhi perjanjian.
Israel bagaimanapun berkata operasi berskala besar masih dijalankan di sebuah tanah perkuburan di utara Gaza bagi mencari mayat berkenaan.
Sementara itu, serangan Israel ke atas Gaza berterusan, dengan sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat serangan dron dan tembakan tentera Israel, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

