BERLIN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama di acara Zukunftsag Mittelstand atau Hari Masa Depan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) anjuran Pertubuhan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (BVMW).

Ucapatama tersebut disampaikan pada Rabu, kira-kira 6.34 petang waktu tempatan merupakan pada acara berkaitan PKS terbesar di Jerman.

Acara itu menjadi medium kepada pengusaha PKS untuk mengembangkan jaringan dan mengadakan perbincangan dengan pembuat dasar politik serta korporat.

Fokus Zukunftsag Mittelstand kali ini terarah kepada isu digitalisasi, peralihan tenaga, mobiliti dan ketersambungan yang memberi impak kepada PKS pada masa depan.

Dianggarkan 5,000 PKS termasuk tokoh-tokoh kerajaan dan korporat hadir ke Zukunftsag Mittelstand kali ini.

Selain Anwar, turut hadir Menteri Kewangan Jerman, Christian Lindner; Menteri Digital dan Pengangkutan Jerman, Volker Wissing; Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Perlindungan Iklim Jerman, Robert Habeck.

Selain itu, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin; Menteri Perdagangan Turkiye, Dr. Omer Bolat; dan Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Saleh Al-Khulaifi turut serta pada acara berkenaan.

Dalam pada itu, reruai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kelolaan SME Bank dan Persatuan Francais Malaysia turut dibuka bagi mempromosikan PKS Malaysia.

Enam reruai Malaysia di Zukunftsag Mittelstand kali ini termasuk dari Marniq Bersatu Sdn Bhd (syarikat perkhidmatan teknologi maklumat), Primelux Energy Sdn Bhd (pengeluar dan pengedar lampu jalan), Ade Azhar Trading Sdn Bhd (pengedar buku), 59Kopa Sdn Bhd (pengeluar dan pengedar pakaian sukan muslimah), Marrybrown (makanan dan minuman) dan OLDTOWN White Coffee (makanan dan minuman).